Ahad, 17 November 2013

SKMM 6013: Ulasan artikel ‘Opening address the world of Islam: an outline’ oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas





Worldview atau pandangan hidup Islam tidak berasaskan pemerhatian pancaindera dan juga akal rasional manusia terhadap pandangan alam. Pandangan hidup Islam merangkumi aspek dunia dan akhirat, di mana dunia merupakan alam untuk kita bersiap sedia sebelum ke akhirat.
            Islam bukan budaya dan Islam tidak berasal dari kebudayaan dan elemen falsafah dengan bantuan sains. Islam datang melalui wahyu (al-Quran) dan diajarkan oleh Rasulullah melalui hadis (ucapan dan perbuatan). Islam tidak menjalani proses kematangan atau pembangunan (kemajuan), hanya proses interpretasi dan perincian yang berlaku oleh generasi silih berganti dari beberapa bangsa yang berubah yang mana masih bersumberkan pada Al-Quran yang kekal, tiada perubahan isinya. Wahyu terakhir ini kekal bentuk isinya, dan membawa kebenaran yang hakiki, menafikan al-Quran bukan ciptaan budaya dan rekaan etnik tertentu, bukan jua gabungan tradisi budaya dan etnik mahupun melalui penemuan sains.
            Bagi Naquib al-Attas worldview Islam adalah pandangan Islam tentang realiti dan kebenaran yang nampak oleh mata hati kita dan yang menjelaskan hakikat wujud. Islam sebagai suatu pandangan hidup yang membezakannya dengan pandangan hidup lain. Sifat-sifat Tuhan dalam Islam, tidak sama dengan konsep ketuhanan yang difahami atau dibawa oleh beberapa agama tradisi seluruh dunia. Malah tak sama dengan konsep ketuhanan Greek, dari falsafah barat, dari sudut sains, mahupun timur (Oriental).
            Tuhan dalam Islam, melalui Rasulullah dan berdasarkan Al-Quran, ialah Allah yang satu, maha Esa, berdiri sendiri (tidak bersandar), mutlak dan kekal abadi. Allah tiada anak dan tidak diperanakkan, wujud dan berada di mana-mana, namun bukan seperti yang difahami oleh pantheism. Allah maha besar, maha mengetahui, maha mendengar dan maha melihat, dalam erti kata tiada yang terlepas atau terkhilaf dari Allah. 


Ashraf Adrutdin
17 november 2013
11 malam

Rabu, 23 Oktober 2013

SKMM 2083: Hadiah

Gemilang.


Pernah,
rinduku diguris sepuasnya,
pernah,
hatiku dihiris semahunya,
ternyata sudah,
cintanya rekaan cuma,
sekadar,
hiasan bicara.

Telah,
terpadam,
kasih dan perasaan,
semakin kelam,
wajahnya di ingatan,
ternyata sudah,
cintanya tiada harga,
sekadar,
hiasan bicara.

Tiada,
alasan yang nyata.

(Kini) Malam gemilang,
menyambut kehadiran kekasih,
hadiah dari maha Esa,
wajah yang riang,
bersinar bagai berwarna warni,
di dada,
damai dan sentosa.

Semoga dikau sirami,
ketandusan halaman hati,
kembali subur dan mewangi,
abadi,
di malam gemilang.

 Lirik: Aidit Alfian



Manja.


Bergema tangisan,
di subuh hari,
berserta pujian pada Illahi,
menanda bermulanya,
titik kehidupan,
di dada dunia untukmu insan.

Engkau diciptakan,
tiada celanya,
dan engkau dilahirkan suci tanpa dosa.

Kita ditemukan,
di bumi Tuhan,
sebagai saudara yang sealiran,
sebelum terpedaya inginku khabarkan,
tetapkan kiblatmu sepanjang jalan.

Senyumlah kau manja,
sepuas adanya,
senyumlah kau manja,
waktunya kan tiba.

Terikat,
siang benderang,
malam gelita,
kerana dalam buruan,
bisikan durjana,
teguhkan pada hatimu,
pada yang Esa,
semoga kau tak tersungkur di kaki dunia.

Dengarkan pesan dariku,
moga berjaya,
kotakan janjimu dulu yang satu itu,
janjimu,
di alam sana untuk setia,
kepada DIA yang punya segala-galanya.

Lirik: Bakhtiar Effendy



Kedua-dua buah lagu yang saya tampilkan pada catatan saya kali ini memberi makna yang mendalam buat saya, apatah lagi saya kini dihadiahkan Al-Wali seorang anak perempuan, Amna Aishah. Lagu-lagu ini dendangan kumpulan Baba (1996), yang saya akui tidak terkenal dan popular, namun itu bukanlah kayu pengukur pada bagus atau tidak sesebuah kumpulan, lagu dan lirik mereka.

Amna Aishah, nama Aishah saya petik dari nama bondanya sendiri, Saidatul Noraishah. Mengapa saya membawa nama Aishah kepada anak saya, itulah yang saya kira istimewa. Saya mahu agar nama bondanya diabadikan bersama namanya, agar anak saya tidak lupa akan bonda yang melahirkannya, dan menjaganya dengan penuh kasih sayang. Nama itu kan tetap bersamanya, sehingga ke akhir hayat, bersama semangat dan cinta suci.

Benar, kasih ibu itu sangat luar biasa. Kesabaran yang luar biasa. Cinta yang luar biasa. Rindu yang luar biasa. Nak, utamakan bondamu dahulu pabila kau besar sayang, jagalah hatinya, usah kau lukainya. Bapak 'kan setiasa mendoakan kesejahteraanmu, nak. Jadilah kau insan, bukan sekadar anak. Jadilah kau manusia, bukan sekadar orang. Jadilah kau pemimpin, bukan sekadar yang dipimpin.



Ashraf Adrutdin
24 Oktober 2013
12.08 pagi
Batu Caves.





Isnin, 21 Oktober 2013

SKMM 6013: Komen artikel 'Novel-novel MelayuMutakhir: Analisis Cerminan Nilai Budaya Bangsa


Memahami artikel Ramli Isin ini, saya berpendapat bahawa novel-novel Melayu yang diberikan contoh beberapa pengarang diandaikan tidak mencerminkan nilai budaya masyarakat, dalam konteks Melayu secara sepenuhnya atau menyeluruh.
Base atau asas dalam penghasilan karya novel saya kira berdasarkan pengalaman dan pemerhatian pengarang. Pengarang kemudiannya mengolahnya dengan imaginasi, khayalan, dan idea mereka sendiri bagi menghasilkan karya yang bukan sahaja indah dari sudut bahasa, juga dari sudut teknik penceritaan. Ini kadangkala boleh menyebabkan ketidakseimbangan antara nilai realiti dengan teknik penceritaan sehingga terhasilnya karya fiksyen. Ini secara tidak langsung boleh mengelirukan pembaca kerana hanya cebisan kecil yang barangkali sengaja atau tidak sengaja ditapis atau ditinggalkan oleh pengarang nilai budaya (realiti) masyarakat yang ada dalam novel mereka.
Namun begitu, sesetengah novel tetap juga menggambarkan tentang keadaan kehidupan dan nilai budaya masyarakat di sesuatu tempat yang pembaca tidak pernah berkunjung ke situ. Tambahan,  sekiranya keadaan atau nilai budaya yang dilakarkan dalam novel itu tidak benar-benar berlaku atau wujud, masakan ia boleh dikarang dengan berdasarkan imaginasi semata-mata. Justeru, meski ianya direka, ditokok tambah, mahupun didustakan kebenaran, novel dapat menggambarkan keadaan dan suasana pada ketika itu, di samping memberi maklumat asas. Pembaca haruslah meneliti nilai masyarakat yang dicerminkan dalam novel itu, selain mencabar kebenaran faktanya.
Novel juga boleh menjadi alat pemerintah sekiranya kebenaran yang dicitrakan dalam novel tersebut disimpangkan dan ditukar mengikut ideologi pemerintah/parti. Ini secara tidak langsung menyempitkan kebebasan berkarya secara jujur dalam mengungkap nilai, masalah dan keadaan masyarakat malah menghancurkan perkembangan kesusasteraan itu sendiri.

ashraf adrutdin
21 Oktober 2013
 2.31 pagi
Batu Caves

Ahad, 20 Oktober 2013

SKMM 6013: Ulasan artikel 'Teks dan Makna dalam Drama Melayu Moden'




Teks sastera dalam genre drama merupakan suatu wadah, yang membawa pemikiran seorang pengarang dan dihidupkan oleh pengarah yang mampu menginterpretasikan teks setepat yang mungkin. Solehah Ishak dalam artikelnya ‘Teks dan makna dalam drama Melayu moden’ mengklasifikasikan teks dalam beberapa bentuk, dengan tiga yang utama adalah deklaratif, imperatif dan interogatif.
            Secara ringkasnya, deklaratif ialah teks yang ‘straight to the point’ dan tidak memerlukan daya fikiran yang berat, makanya sesuai untuk semua peringkat umur dan khayalak. Bagi teks imperatif, penonton drama biasanya akan menyimpulkan sendiri pengakhiran cerita kerana sifat drama yang tergantung dan tiada perleraian, seolah-olah penontonlah pengarang drama tersebut. Teks interogatif pula membawa dimensi yang berbeda dengan teks drama yang serius, berat dengan isi tersirat dan simbol-simbol. Kebiasaanya, drama sebegini membawa ideologi pengarang yang tidak mudah ditafsir khayalak. Pengarang seperti Noordin Hassan cenderung kepada teknik ini dengan contoh dramanya Sirih Bertepuk Pinang Menari dan Bukan lalang ditiup angin.
            Pengarang juga bisa mengarah dramanya sendiri, dan ini memberi roh sebenar pada sesebuah drama itu, kerana jelas drama yang diarah sendiri oleh pengarang lebih tepat tafsiran dan makna-makna berlapisnya. Apatah lagi, pengarang dan pengarah itu sendiri menjadi pelakon utamanya, drama lebih menyusup jiwa kerana lakonan itu benar-benar datang dari hati dan pemikiran pengarang itu sendiri. Syed Alwi merupakan contoh pengarang yang menjadi pengarah dan juga pelakon utama dalam dramanya.
            Teks yang dikarang oleh pengarang berbeza, memberi makna yang turut berbeza, lantas khayalak juga berbeza, dan ini biasanya terpecah pada golongan miskin – kaya, dan atau tua – muda.


Ashraf Adrutdin
21 Oktober 2013
12.07 pagi
Batu Caves