Rabu, 7 September 2011

Lebih


 Lebih

Haruskah aku berputus asa,
Dan berpatah arang,
Dalam mengecapi nikmat duniawi.

Tahukah kalian apa yang aku maksudkan dengan nikmat duniawi?
Cinta, rindu, benci dan dendam.
Bercampur gaul, sebati bagai perapan rempah temurun.

Ada kalanya,
Lebih mulia jika aku tidur, dalam ketenangan,
Berbanding jika aku berjaga dalam kesulitan,
Mengenang keperitannya mencari resepi duniawi.

Mungkin lebih baik jika dihukum pentingkn diri,
Andai itu lebih mudah daripada mempertahankan kebaikan yang disalahertikan.

Aku lebih gemar berdiam diri,
Daripada berkata yang meninggalkan luka yang mendalam.

Aku lebih cinta menulis,
Daripada berkata yang tidak masuk akal.

Aku lebih mahu meninggalkan kesan mendalam,
Daripada menghunus pedang yang tumpul.

Aku lebih rela berbaring andai sakit belakangku kembali,
Daripada aku berdiri dalam kekuatan.

Aku lebih suka menyendiri,
Daripada berkerumun dalam gelak tawa yang mencemburukan.

Aku lebih suka musim hujan,
Agar aku berasa malas dan lebih senang tidur,
Daripada aku pergi mencari cinta, rindu, benci dan dendam.

Ini nukilan diriku,
Siapa yang berani bertanya?
Siapa yang berani menghukum?
Biarlah saja Al-Wali yang menilainya.


Ashraf Adrutdin,
RRIM Sg Buloh,
Hujan lebat – menambah semangatku.
7/9/2011 jam 2 suku petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan