Rabu, 13 Mei 2015

azman hussin & Keldai dan Kitab


Keldai Dan Kitab, karya Azman Hussin merupakan kompilasi artikel-artikel beliau pada 2011-2014. Sejujurnya saya baru mengetahui bahawa beliau juga seorang cerpenis suatu masa dahulu. Ternyata selepas membaca artikel demi artikel, Azman Hussin telah membantu membuka minda saya untuk melihat apa yang telah berlaku pada dunia hari ini pada perspektif yang berbeza. Azman seolah-olah mengajak kita berfikir dari sudut pandangan yang berbeza, agar kita tidak berfikiran jumud, atau sekadar mendengar 'hearsay' semata. Boleh saya katakan bahawa tulisan-tulisan beliau umpama dekonstruksi kepada dekonstruksi. Umpama meletakkan semula Hang Tuah sebagai wira setelah Kassim Ahmad menobatkan sebaliknya (Hang Jebat). Azman telah meruntuhkan tembok anti-establisment yang kini rata-rata menjadi kerangka pemikiran masyarakat sekarang dan membina semula tembok kebenaran sejati. Pada saya ia bukan langkah kebelakang tetapi suatu anjakan yang jarang difikirkan masyarakat.

            Setiap entri beliau padat, tidak meleret-leret, segar dengan isu kontemporari dan lancar pembacaannya. Tidak seperti tulisan-tulisan sarjana lain yang ada ketika kita merasakan tiada kesinambungan dan seperti syok sendiri. Tulisan beliau sangat mudah difahami, beliau tidak menggunakan perkataan-perkataan yang jargon dan bombastik seperti segelintir penulis yang sudahnya, menyebabkan para pembaca tidak faham apa yang mahu disampaikan oleh mereka. Pembaca ada ketika terpaksa mengulang-ulang baca untuk memahami isi sebenar, tetapi dalam kes Azman Hussin, ia tidak berlaku. Azman berjaya menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Beliau turut banyak menggunakan analogi, perumpamaan, tamsilan yang bukan sahaja indah dan menarik perhatian pembaca, malah sangat membantu untuk memahami isi kandungan artikelnya. Dalam nasihat beliau, meski ada sinis, tetapi bukanlah sarkastik semata-mata yang boleh merendahkan intelektual pembaca. Jelas ini memberi banyak kelebihan kepada Azman agar kebenaran yang mahu disampaikan mudah diterima pembaca, tidak kira apa latar belakang pendidikan mereka. Ada ketikanya pula, saya dapat merasakan bahawa Azman seperti mengetahui apa yang sedang berada dalam minda pembaca, yang berlegar-legar tanpa jawapan, dan beliau tampil membantu. Hujahnya kemas, tersusun menjentik sanubari kita, memberi jawapan kepada tiap persoalan yang tidak berjawab selama ini, atau yang sengaja kita abaikan. Susunan artikel juga amat berkesan dan seperti mengikut 'flow' kefahaman pembaca. Lancar umpama air yang mengalir tenang di sungai.

            Azman mengutarakan perkara-perkara yang dekat dalam diri kita, tetapi tidak kita peduli untuk menggali kebenaran di sebaliknya selama ini. Perihal tentang kebenaran & khilaf yang bercampur baur, maklumat tanpa kawalan dsb. Malah membezakan apa sebenarnya knowledge dan information. Ada perihal tentang manusia yang mengaku mereka benar meski sekadar melakukan 'mekanisme bela diri'. Azman turut mengupas isu politik dan sosial tanah air dengan lebih adil, yang saya kira berjaya mencuri hati para-para anarkis/pembangkang di luar barangkali. Azman turut mengingatkan agar kita tidak menjadi peguam dalam kehidupan kita. Berdebat dan bertikam lidah dengan ada ketikanya menyerang peribadi / ad hominem bukan membalas hujah dengan hujah.

            Saya kira, inilah ilmu yang bermanfaat yang mahu disebarkan kepada kita, sebagai satu satu daripada tiga bekalan Azman di akhirat kelak. Ada ketikanya saya merasakan, bahawa apa yang saya baca ini, seharusnya keluar dari mulut-mulut/pemikiran para menteri/pemimpin kita. Azman memberi sesuatu yang diperlukan untuk masyarakat menjadi celik ilmu, dan bukan memberikan sesuatu yang masyarakat kini mahu atau mengikuti kehendak pasaran kini (anti-establishment). Sekian, terima kasih.

Selasa, 12 Mei 2015

Bukankah aku guru pertamamu?


BUKANKAH AKU GURU PERTAMAMU?


Ashraf Adrutdin



Tatkala aku membisikkan kalimah Allah maha besar di telingamu,
Kau sewaktu itu pertama kali menatap dunia nan indah nan panca roba.
Bukankah aku yang pertama menjadi gurumu?
Bukankah aku yang menjadi guru pertamamu?
Bukankah aku guru pertamamu?

Kau mengajarkanku erti kasih sayang dan cinta sebenar kepada duniawi,
Aku kenal akan komputer, ipad, astro dan Einstein, dan Max Weber dan Derrida dan Shakespeare dan Dicaprio dan, dan, dan.

Monsun beralih dan mentari mengaum berdebat dengan sang petir,
kau ajarkanku membuka pendingin hawa,
Tidak ku tahu bahawa ozon mula menipis, karbon dioksida tidak terserap lagi dek daun dan akhirnya rumah kaca terbentuk,
menakluki atmosfera dan enggan melepaskan dan memeluknya umpama bidadari.

Aku belajar mengaji seperti kau sewaktu kecil,
Sayang, aku dan kau sekadar pandai mengalunkannya mengikut tajwid dan taranum,
Tidak pula kita gali tersiratnya ilmu-ilmu Qalam suci itu,
Erti khalifah tidak kita terapkan pada kehidupan apatah pada alam sekitar yang lekeh.

Tidak kau pernah menyentuh akan jati, mempening, bintangur dan halban,
Apa lagi ertinya beratus lagi haiwan yang mati pupus apa kau peduli,
Kau kata kita sekadar berusaha mencari rezeki yang halal,
Untuk masa hadapan aku, kau dan cucu cicit kita.




Aku tidak mengungkit,
Cuma kesal kerana aku, kau dan kita semua masih membisu dan mengikuti sahaja,
Tidak kita bangkit melawan kapitalis yang sekular yang bukan sekadar menghancurkan alam sekitar bahkan jiwa, akhlak, etika, pemikiran, pegangan, pendirian dan, dan, dan.

Tidakkah aku merasa berdosa membiarkan perogol, peragut, perompak, dan, dan, dan,
Merakus segala apa yang ada di tubuh di dada belantara dunia,
Dan membiarkan definisi kemodenan menakluki umpama kita dijajah semula.

Dan saat aku pejamkan mata buat kali terakhir,
kaulah yang pula menjadi guruku terakhirku,
dengan membisikkan ke telingaku,
kalimah Tiada Tuhan melainkan Allah.


ashraf adrutdin
5 mei 2015
Kuala Lumpur.

Jumaat, 20 Disember 2013

SKMM 6013: Slide perbentangan akhir

Untuk pembentangan terakhir ini, artikel daripada Asmaa Mohd Arshad: Konsep Ta'dib: Teras Falfasah Pendidikan Islam dipilih untuk diaplikasikan melalui analogi / contoh dari 3 link Internet.










Isnin, 9 Disember 2013

SKMM 6013: Rumusan Konsep Ta'dib



Rumusan makalah: Konsep Ta’dib: Teras Falsafah Pendidikan Islam


Seandainya kita telah dapat melahirkan generasi yang utuh jati diri, persoalan berkenaan keruntuhan akhlak saya kira jarang akan berlaku, berbanding apa yang nampak di hadapan mata kita sekarang. Jelas budaya yang dibawa menerusi internet (baca: dunia tanpa sempadan) telah menjajah minda kita secara halus hingga tak mampu lagi untuk mempertahankan akidah, akhlak, maruah dan nilai harga diri umat Islam.
            Prof Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas telah lama mengutarakan perihal teras pendidikan, terutamanya pada sistem pendidikan negara kita. Berlakunya kekeliruan ilmu iaitu kebenaran yang bercampur aduk dengan kebatilan, yang berpunca dari worldview Barat yang menerapkan fahaman mereka melalui ilmu pengetahuan moden. Apabila ini berlaku, secara tidak langsung telah mengubah hala tuju pendidikan negara kita, dengan menjadikan konsep pendidikan moden sebagai industri penjana sumber tenaga manusia (human capital), berbeda dengan tujuan asal pendidikan untuk melahirkan insan seimbang yang berperibadi mulia. Jelas pendidikan kita telah mengikut acuan falsafah Barat yang matlamat mereka mahu melahirkan warganegara yang bersedia menyumbangkan segala tenaga dan kepakaran demi kepentingan sosio-ekonomi negara. Sekali imbas, jika kita melihat pada penyataan ini, tiada yang salah, bukan? Ternyata minda kita telah tertawan (captive mind) dengan agenda halus Barat.
            Konsep pendidikan dalam Islam dapat dilihat pada teras utamanya untuk melahirkan insan yang baik (insan adabi) dan seimbang (manusia yang adil). Konsep ta’dib al-Attas yang berasal dari kalimah Arab: addaba yu’addibu ta’dib. Addaba bermaksud mendisplinkan seseorang itu dengan adab, manakala ta’dib merujuk kepada proses displin diri tersebut sebagai penyerapan adab ke dalam diri. Adab pula adalah perbuatan, tindakan atau keputusan yang didasari ilmu yang benar. Apabila kita beradab dengan diri sendiri, kita telah berjaya mendidik diri hayawani / rohani kita. Apabila kita beradab dengan sesama insan pula, kita telah menunaikan hak terhadap keluarga dan masyarakat menurut rencana yang telah disusun oleh Allah SWT. Dan apabila kita beradab dengan alam semesta, kita telah mengiktiraf alam ini sebagai tanda penciptaan Illahi. Maka insan adabi juga bermakna kita telah meletakkan sesuatu pada neracanya yang benar menurut hierarki penciptaan Tuhan.
            Imam Abu Hamid al-Ghazali menafsirkan adab itu sebagai pendidikan diri jasmani dan rohani yang merangkumi perkataan, perbuatan, akidah dan niat. Apabila sesuatu perbuatan itu dizahirkan, ia akan meninggalkan kesan terhadap hati / roh kita. Dan apabila kita melakukan berulang kali, ia meninggalkan kesan yang lebih mendalam. Maka hati yang telah suci pasti menzahirkan akhlak mulia yang terpancar pada perkataan & perbuatan. Berpuasa misalnya, kita dapat membersihkan hati dan berasa insaf akan kesulitan insan lain yang tidak makan, berbanding jika kita malas / enggan berpuasa, kita tidak merasa apa-apa keinsafan, dan terus menerus melakukan kebatilan. Contoh seterusnya, apabila kita dengan tidak segan-segan menzahirkan perkataan atau perbuatan yang tidak baik, misalnya berkata kesat, atau tidak menutup aurat, meski kita mengatakan ia hanya kosmetik (bersifat luaran) namun kononnya dalam hati kita ini baik dan bertaqwa, tapi perbuatan kita itu tidak memberikan kesan baik dalam roh kita, dalam hati kita, lantas tidak juga mencerminkan diri kita yang dalamannya konon baik. Jelas apabila kita berusaha menzahirkan perbuatan yang dituntut Tuhan seperti membaca al-Quran meski kita berasa malas, namun dengan memaksa diri ini berulang-ulang kali melakukannya, pasti jiwa kita kan berasa suci, lalu kita terus menghayatinya dan menjadikan kita berdisplin dan berjaya pula menzahirkan perbuatan yang lebih mulia. Proses untuk melahirkan insan mulia inilah yang dikatakan ta’dib (pendidikan dalam Islam).
Al-attas telah membahagikan ilmu kepada dua umumnya: ilmu pengenalan dan ilmu pengetahuan. Ilmu pengenalan (fardhu ain) merujuk kepada ilmu hakikat rohaniah yang bersumberkan wahyu dan sunnah bertujuan untuk membimbing ke arah kesempurnaan insan dan diwajibkan untuk seluruh umat Islam. Manakala ilmu pengetahuan (fardhu kifayah) adalah ilmu alat untuk mencari kegunaan untuk kehidupan manusia yang diwajibkan pada sebahagian sahaja kaum Muslimin. Perlaksanaan ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah ini hendaklah diteruskan di peringkat pengajian tinggi selaras dengan apabila tinggi tahap ilmu pengkhususan (fardhu kifayah), maka sewajarnya semakin tinggi tahap ilmu teras (fardhu ain) yang memandunya. Apabila ini berlaku, nescaya pelajar berupaya membebaskan akal-budi dari badai fahaman sekular.
Apabila kita pincang dalam melaksanakan ilmu fardhu ain pada peringkat pengajian tinggi, maka lahirlah generasi mahasiswa yang rapuh jati-diri, lalu menjadi pula pemimpin, dan seterunya mereka juga akan mengulangi kitaran kepincangan sistem ini yang akhirnya melahirkan umat yang rapuh. Seharusnya sistem pendidikan tinggi ini dapat melahirkan insan Kamil dan bukan sekadar untuk penuhi kehendak pasaran kerja. Ilmu teras (fardhu ain) adalah sajian bagi roh, ilmu pengkhususan (fardhu kifayah) adalah sajian bagi jasad. Kedua-duanya saling memerlukan, bukan?


ashraf adrutdin
9 disember 2013
2.50 pm
ptsl

Isnin, 2 Disember 2013

SKMM 6013: Kapitalisme dan jenama Islam


Secara jujurnya, saya tidak dapat mencari suatu analogi yang baik bagi menunjukkan bahawa sesuatu alat tradisi atau moden dapat memberi kebaikan/keburukan terhadap budaya dan agama Islam kita. Tetapi saya cuba untuk mengaitkan sistem barat yang moden iaitu kapitalisime telah berjaya menyusup masuk ke dalam budaya umat Islam sehingga kita telah terkeliru dan tercengkam olehnya.
 
     Kapitalisme merupakan sistem ekonomi berdasarkan pasaran bebas, persaingan bebas, berangsangkan keuntungan dan milik persendirian. Kapitalisme menggalakan pelaburan persendirian dan perniagaan, berbanding ekonomi kawalan kerajaan. Pelabur dalam syarikat persendirian (pemegang saham) juga memiliki firma tersebut dan dikenali sebagai kapitalis. Dalam sistem ini, individu dan firma-firma mempunyai hak untuk memiliki dan menggunakan kekayaan untuk menjana pendapatan dan untuk menjual beli buruh dengan gaji tanpa kawalan kerajaan atau dengan kawalan yang minima. 
 
     Maka, saya ingin kaitkan dengan sebuah wacana yang saya baca mengenai Islam sebagai sebuah jenama, terutamanya di Malaysia.  Jika kita lihat pada situasi sekarang, banyak yang kita kaitkan dengan istilah Islam vis. bank Islam, universiti Islam, perubatan Islam dan sastera Islam. Munculnya juga jenama berunsurkan nabi seperti kurma nabi, capal nabi, jubah nabi, tasbih kayu kokka, bahtera Nabi Nuh dan minuman berkarbonat yang dibacakan 30 juzuk al-Quran.

     Lalu saya juga terfikir apakah ada hujah dan dalil, atau kajian saintifik yang merasionalkan perkara ini berlaku, terutamanya di Malaysia? Sahlah bahawa ini hanyalah sekadar strategi perniagaan yang sekadar mencari keuntungan atas angin dengan merosakkan agama.

      Wujudnya institusi sebegini dikhuatiri dapat menjadi fitnah seandainya hanya bersifat luaran dan bila lihat di dalamnya, kering atau kurang epistemologi Islamnya. Satu contoh yang saya dapati menarik untuk dibincangkan ialah mengenai istilah 'perubatan Islam'. Perubatan yang dirujuk kepada kaedah ruqyah (jampi) menggunakan al-Quran, pada dasarnya bagus dan tiada masalah pun. Yang menjadi masalah bilamana ia dijenamakan sebagai perubatan Islam, seolah-olah menggambarkan kaedah perubatan moden selain 'perubatan Islam' adalah perubatan kafir atau perubatan bukan Islam. Jadi, apakah perubatan moden di hospital adalah perubatan kafir?

       Menyusuri sejarah perubatan, ulama Islam seperti Ibnu Sina yang terkenal dengan kitab karangannya al-Qanun fi al-tib yang menjadi rujukan utama dalam perkembangan ilmu perubatan di Barat. Jelas bahawa ilmu perubatan ini datang dari sarjana Islam. Begitu juga ilmu-ilmu sains lain seperti fizik, biologi, kimia, matematik serta ilmu-ilmu sains sosial lain.

    Maka, dalam isu perubatan Islam istilah yang sebaiknya digunakan adalah 'perubatan alternatif' sebagaimana yang digunakan oleh sebahagian daripada pengamalnya di Malaysia. Penggunaan istilah 'perubatan Islam' atau apa-apa jua jenama Islam namun kemudian melakukan penipuan jelas menimbulkan fitnah dan keburukan kepada Islam secara umumnya. Ternyata kapitalisme telah merosakkan kita umat Islam secara halus dalam mengamalkan ekonomi kini.
 
 
artikel penuh: http://www.malaysiakini.com/news/236293
 
ashraf adrutdin
2 Disember 2013
1.08 pm




Ahad, 24 November 2013

SKMM 6013: Ulasan makalah PANDANGAN ISLAM TERHADAP TRADISI DAN KEMODENAN



Ulasan makalah PANDANGAN ISLAM TERHADAP TRADISI DAN KEMODENAN oleh Khalif Muammar A. Haris.

al-Turath al-Islami ialah warisan ulama muktabar dalam bentuk kumpulan karya-karya ulama silam yang merakam bagaimana Islam difahami dan dipraktikkan, berdasarkan kerangka pemikiran Islam, bukan kerangka pemikiran sekular yang mentakrifkan tradisi sebagai rakaman memori yang tidak perlu dijadikan panduan, malah dianggap beban sejarah. Epistemologi Islam mengklasifikasikan ilmu naqliyyah (wahyu) dengan akliah berdasarkan (base on) martabat ilmu dengan tidak disama ratakan dan tidak dilebihkan, berbanding dengan klasifikasi berdasarkan akal rasional, pertembungan boleh terjadi.
Islam tidak seperti falsafah modenisme barat yang mengalami proses perkembangan daripada kegelapan kepada kebangkitan, pencerahan kepada komedenan, seterusnya pasca moden. Ini dijelaskan dengan ketiadaan dikotomi tradisi dan modeniti (dualisme) dalam Islam, yang ada hanya proses Islamisasi yang membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme kepada semua peringkat manusia, semua golongan manusia. Peradaban Islam mementingkan ilmu, dengan penghasilan karya-karya besar ilmuwan yang menjadi rujukan ilmuwan seterusnya. Golongan liberal yang sekular ini juga memisahkan secara dikotomi mutlak (total) antara ilmu Tuhan dan ilmu manusia, agama dan sains, Tuhan dan manusia. Ini sesuatu yang asing kerana wahyu menjadi penghubung Tuhan dan manusia.
Kejatuhan Islam bermula apabila ketiadaan karya-karya ilmuwan dan munculnya salafiyyah movement yang memandang enteng tulisan-tulisan ulama. Mereka dengan biadabnya (loss of adab) menolak bimbingan dan ajaran ulama dengan anggapan idea ulama hanya pandangan, sama seperti pandangan orang biasa, bukan pandangan orang berilmu. Mereka keliru dan sesat, mentafsir al-Quran dan al-Sunnah dengan kefahaman mereka sendiri, tidak berdasarkan penafsiran ulama muktabar yang lebih memahami berserta ilmu yang tinggi. Jelas epistemologi Islam akan menjadi kacau bilamana memahami nas tanpa perantara ulama, yang boleh bercampur aduk dengan keraguan, was-was dan kesesatan, apatah lagi difahami secara luaran sahaja, bukan lapisan dalaman (tersirat).
            Seruan menghormati ulama dijelaskan dengan mengambil kira ilmu dan hikmah yang dikurniakan Tuhan kepada ulama, yang menjadikan mereka berautoriti dan diangkat menjadi rujukan kerana kewibawaan mereka dalam sesuatu bidang. Autoriti ini penting kerana jika orang lain yang bukan ahli ilmu tersebut diangkat menjadi pemimpin, kebobrokkan, kezaliman (tidak adil) dan penyelewengan boleh terjadi, dan akhrnya merugikan kita umat Islam.
Fasa sejarah barat modeniti bercirikan industrialisme, kapitalisme dan sekularisasi. Jelas penekanan kepada sains dan teknologi serta pembangunan fizikal telah meminggirkan agama, tradisi dan metafizik. Akhirnya dehumanisasi berlaku dengan segala krisis moral dan jenayah yang tidak terkawal lagi dek kerana ketidakseimbangan pembangunan. Walhal, Islam yang syumul ini tidak meletakkan manusia sebagai penentu segala sesuatu dan sumber segala hak yang menjadi ibu kepada kepincangan ini. Perspektif Islam mentakrifkan pembangunan sebagai pembangunan yang menyeluruh, dengan agama memainkan peranan yang dominan, tidak menumpukan bentuk fizikal semata. Oleh yang demikian, penumpuan kepada pembangunan insan dan institusi pendidikan perlu diutamakan, manakala pembangunan material serta sains dan teknologi sebagai complementary. Ini kerana, budaya berfikir membina kekuatan roh dan akal, yang menjadi asas tamadun.
Apabila minda tertawan (captive mind), secara tidak langsung kita telah bergantung kepada kuasa asing yang kuat, menjadikan kita lemah dan pudar pandangan alam (worldview) Islam. Sejarah menunjukkan kerajaan Turki Othmaniah dan Mesir yang mengalami westernisasi jatuh hancur, dan akhirnya kedaulatan hilang apabila berlaku campur tangan asing.


ashraf adrutdin
24 november 2013