Ahad, 24 November 2013

SKMM 6013: Ulasan makalah PANDANGAN ISLAM TERHADAP TRADISI DAN KEMODENAN



Ulasan makalah PANDANGAN ISLAM TERHADAP TRADISI DAN KEMODENAN oleh Khalif Muammar A. Haris.

al-Turath al-Islami ialah warisan ulama muktabar dalam bentuk kumpulan karya-karya ulama silam yang merakam bagaimana Islam difahami dan dipraktikkan, berdasarkan kerangka pemikiran Islam, bukan kerangka pemikiran sekular yang mentakrifkan tradisi sebagai rakaman memori yang tidak perlu dijadikan panduan, malah dianggap beban sejarah. Epistemologi Islam mengklasifikasikan ilmu naqliyyah (wahyu) dengan akliah berdasarkan (base on) martabat ilmu dengan tidak disama ratakan dan tidak dilebihkan, berbanding dengan klasifikasi berdasarkan akal rasional, pertembungan boleh terjadi.
Islam tidak seperti falsafah modenisme barat yang mengalami proses perkembangan daripada kegelapan kepada kebangkitan, pencerahan kepada komedenan, seterusnya pasca moden. Ini dijelaskan dengan ketiadaan dikotomi tradisi dan modeniti (dualisme) dalam Islam, yang ada hanya proses Islamisasi yang membawa semangat rasionalisme dan intelektualisme kepada semua peringkat manusia, semua golongan manusia. Peradaban Islam mementingkan ilmu, dengan penghasilan karya-karya besar ilmuwan yang menjadi rujukan ilmuwan seterusnya. Golongan liberal yang sekular ini juga memisahkan secara dikotomi mutlak (total) antara ilmu Tuhan dan ilmu manusia, agama dan sains, Tuhan dan manusia. Ini sesuatu yang asing kerana wahyu menjadi penghubung Tuhan dan manusia.
Kejatuhan Islam bermula apabila ketiadaan karya-karya ilmuwan dan munculnya salafiyyah movement yang memandang enteng tulisan-tulisan ulama. Mereka dengan biadabnya (loss of adab) menolak bimbingan dan ajaran ulama dengan anggapan idea ulama hanya pandangan, sama seperti pandangan orang biasa, bukan pandangan orang berilmu. Mereka keliru dan sesat, mentafsir al-Quran dan al-Sunnah dengan kefahaman mereka sendiri, tidak berdasarkan penafsiran ulama muktabar yang lebih memahami berserta ilmu yang tinggi. Jelas epistemologi Islam akan menjadi kacau bilamana memahami nas tanpa perantara ulama, yang boleh bercampur aduk dengan keraguan, was-was dan kesesatan, apatah lagi difahami secara luaran sahaja, bukan lapisan dalaman (tersirat).
            Seruan menghormati ulama dijelaskan dengan mengambil kira ilmu dan hikmah yang dikurniakan Tuhan kepada ulama, yang menjadikan mereka berautoriti dan diangkat menjadi rujukan kerana kewibawaan mereka dalam sesuatu bidang. Autoriti ini penting kerana jika orang lain yang bukan ahli ilmu tersebut diangkat menjadi pemimpin, kebobrokkan, kezaliman (tidak adil) dan penyelewengan boleh terjadi, dan akhrnya merugikan kita umat Islam.
Fasa sejarah barat modeniti bercirikan industrialisme, kapitalisme dan sekularisasi. Jelas penekanan kepada sains dan teknologi serta pembangunan fizikal telah meminggirkan agama, tradisi dan metafizik. Akhirnya dehumanisasi berlaku dengan segala krisis moral dan jenayah yang tidak terkawal lagi dek kerana ketidakseimbangan pembangunan. Walhal, Islam yang syumul ini tidak meletakkan manusia sebagai penentu segala sesuatu dan sumber segala hak yang menjadi ibu kepada kepincangan ini. Perspektif Islam mentakrifkan pembangunan sebagai pembangunan yang menyeluruh, dengan agama memainkan peranan yang dominan, tidak menumpukan bentuk fizikal semata. Oleh yang demikian, penumpuan kepada pembangunan insan dan institusi pendidikan perlu diutamakan, manakala pembangunan material serta sains dan teknologi sebagai complementary. Ini kerana, budaya berfikir membina kekuatan roh dan akal, yang menjadi asas tamadun.
Apabila minda tertawan (captive mind), secara tidak langsung kita telah bergantung kepada kuasa asing yang kuat, menjadikan kita lemah dan pudar pandangan alam (worldview) Islam. Sejarah menunjukkan kerajaan Turki Othmaniah dan Mesir yang mengalami westernisasi jatuh hancur, dan akhirnya kedaulatan hilang apabila berlaku campur tangan asing.


ashraf adrutdin
24 november 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan