Isnin, 2 Disember 2013

SKMM 6013: Kapitalisme dan jenama Islam


Secara jujurnya, saya tidak dapat mencari suatu analogi yang baik bagi menunjukkan bahawa sesuatu alat tradisi atau moden dapat memberi kebaikan/keburukan terhadap budaya dan agama Islam kita. Tetapi saya cuba untuk mengaitkan sistem barat yang moden iaitu kapitalisime telah berjaya menyusup masuk ke dalam budaya umat Islam sehingga kita telah terkeliru dan tercengkam olehnya.
 
     Kapitalisme merupakan sistem ekonomi berdasarkan pasaran bebas, persaingan bebas, berangsangkan keuntungan dan milik persendirian. Kapitalisme menggalakan pelaburan persendirian dan perniagaan, berbanding ekonomi kawalan kerajaan. Pelabur dalam syarikat persendirian (pemegang saham) juga memiliki firma tersebut dan dikenali sebagai kapitalis. Dalam sistem ini, individu dan firma-firma mempunyai hak untuk memiliki dan menggunakan kekayaan untuk menjana pendapatan dan untuk menjual beli buruh dengan gaji tanpa kawalan kerajaan atau dengan kawalan yang minima. 
 
     Maka, saya ingin kaitkan dengan sebuah wacana yang saya baca mengenai Islam sebagai sebuah jenama, terutamanya di Malaysia.  Jika kita lihat pada situasi sekarang, banyak yang kita kaitkan dengan istilah Islam vis. bank Islam, universiti Islam, perubatan Islam dan sastera Islam. Munculnya juga jenama berunsurkan nabi seperti kurma nabi, capal nabi, jubah nabi, tasbih kayu kokka, bahtera Nabi Nuh dan minuman berkarbonat yang dibacakan 30 juzuk al-Quran.

     Lalu saya juga terfikir apakah ada hujah dan dalil, atau kajian saintifik yang merasionalkan perkara ini berlaku, terutamanya di Malaysia? Sahlah bahawa ini hanyalah sekadar strategi perniagaan yang sekadar mencari keuntungan atas angin dengan merosakkan agama.

      Wujudnya institusi sebegini dikhuatiri dapat menjadi fitnah seandainya hanya bersifat luaran dan bila lihat di dalamnya, kering atau kurang epistemologi Islamnya. Satu contoh yang saya dapati menarik untuk dibincangkan ialah mengenai istilah 'perubatan Islam'. Perubatan yang dirujuk kepada kaedah ruqyah (jampi) menggunakan al-Quran, pada dasarnya bagus dan tiada masalah pun. Yang menjadi masalah bilamana ia dijenamakan sebagai perubatan Islam, seolah-olah menggambarkan kaedah perubatan moden selain 'perubatan Islam' adalah perubatan kafir atau perubatan bukan Islam. Jadi, apakah perubatan moden di hospital adalah perubatan kafir?

       Menyusuri sejarah perubatan, ulama Islam seperti Ibnu Sina yang terkenal dengan kitab karangannya al-Qanun fi al-tib yang menjadi rujukan utama dalam perkembangan ilmu perubatan di Barat. Jelas bahawa ilmu perubatan ini datang dari sarjana Islam. Begitu juga ilmu-ilmu sains lain seperti fizik, biologi, kimia, matematik serta ilmu-ilmu sains sosial lain.

    Maka, dalam isu perubatan Islam istilah yang sebaiknya digunakan adalah 'perubatan alternatif' sebagaimana yang digunakan oleh sebahagian daripada pengamalnya di Malaysia. Penggunaan istilah 'perubatan Islam' atau apa-apa jua jenama Islam namun kemudian melakukan penipuan jelas menimbulkan fitnah dan keburukan kepada Islam secara umumnya. Ternyata kapitalisme telah merosakkan kita umat Islam secara halus dalam mengamalkan ekonomi kini.
 
 
artikel penuh: http://www.malaysiakini.com/news/236293
 
ashraf adrutdin
2 Disember 2013
1.08 pm




Tiada ulasan:

Catat Ulasan