Rabu, 16 Jun 2010

Kisah durjana

Kisah durjana

Tukang dosa:
Keimananku rapuh,
Aku bukan malaikat yang tidak bernafsu,
Aku manusia yang penuh dengan kerakusan nafsu,
Kerna,
Setiap manusia itu beriman dan bernafsu,
Pabila tinggi keimanan mengatasi kenafsuan,
Pasti utuh bentengnya.
Namun,
Pabila tinggi kenafsuan, keserakahan, mengatasi keimanan,
Pasti runtuh bentengnya,
Pasti hanyut dirinya di sungai keasyikan,
Sungai keasyikan yang membinasakan,
Dan jika tidak sempat berenang ke tebing,
Pasti ‘kan terus hanyut ke lautan kesyaitanan, kesesatan.

Nafsu keserakahan, keberahian yang memuncak,
Telah merosakkan diriku, imanku, amalku,
Hanyut diriku di sungai kebinasaan,
Tolong! Bantulah daku, wahai sahabat,
Selamatkanlah diriku dari terus hanyut ke lautan kesyaitanan.

Diriku lemah,
Imanku cetek,
Selamatkanlah jasadku,
Selamatkanlah nyawaku,
Keturunanku, duniaku, akhiratku bagaimana?
Mampukah aku berenang menongkah arus keiblisan?

Tukang Pahala:
Wahai sahabatku,
Pohonlah keampunan dari Ar-Rahman,
Pohonlah kekuatan dari Ar-Rahim,
DIAlah tuhan yang maha pengampun lagi maha penyayang,
DIAlah tuhan yang menerima taubat selagi belum kiamatnya dunia,
DIAlah yang mebuka pintu taubat selagi belum terbitnya matahari dari barat,
Entah bila kiamat, tiada siapakan tahu kecuali DIA yang memiliki zat yang maha agung lagi maha suci.

Selagi nyawa belum dicabut sang izrail,
Kembalilah ke jalan keluhuran,
Tuhan sayangkan kamu, tuhan sayangkan kita,
Bertaubatlah selagi masih berkesempatan,
Sedarlah wahai sahabatku,
Hanya dengan keyakinan dan iqtikad yang utuh,
Hanya keimanan dan ketaqwaan,
Kau mampu berenang ke tebing,
Kau mampu mendaki ke lembah kebenaran.

Tuhan tidak akan menutup pintu hamba-hambanya,
Hanya hamba-hambanya sahaja yang menutupnya sendiri,
Menutupnya dari mengakui tanda-tanda kebesaranNYA,
Seolah-olah membutakan mata, dari melihat ciptaanNYa,
Memekakkan telinga dari mendengar ayat-ayat kebenaran – kalamullah,
Membisukan mulut dari membaca dan menyebut ucapan syukur, ucapan kebesaran dan kesucian Illahi.

Apa gunanya akal yangdiberikan olehNYa?
Apa gunanya segala pancaindera yang diberikan kepada makhluk yang sesempurna kita ini?
Apa gunanya hati yang dikurniakan,
Jika seketul daging inilah yang merosakkan segala-galanya,
Akal dan kesempurnaan kita?
Tatkala hati percaya, minda diperalatkan untuk memainkan peranannya,
Tatkala rosak dan kotor dan busuknya hati,
Musnahlah segala kesempurnaan kita dari segi batiniah.

Ingatlah,
Di padang masyar kelak,
Kitakan didakwa,
Kesempurnaan kitalah yang menjadi saksi kekufuran kita,
Kedajalan kita.

Kembalilah kita ke jalanNYA,
Ya Ar-Rahman Ar-Rahim,
Bimbinglah hamba-hambaMU ke jalan yang lurus,
Jalan yang tulus dan jalan yang satu.

*selagi manusia berpegang teguh kepada 2 wasiat ini, Al-Quran dan Al-Hadis, pasti tidak akan sesat selama-lamanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan