Isnin, 14 Jun 2010

Wacana Kita



Wacana Kita
Sepatutnya aku tidak lagi harus berfikir untuk melakukan apa,
Aku harus kejar segala yang tertinggal dalam pelajaranku,
Namun, aku seringkali berkhayal,
Merenung masa depan yang tidak pasti.

Hei, bukankah Tuhan melarang kita,
Agar jangan memikirkan keadaan pada masa hadapan,
Bukankah itu semua kerja Yang Maha Esa,
Dialah yang menentukan segalanya,
Sebagai hambaNYA yang beriman,
Apa yang harus kita lakukan ialah berusaha,
Bekerja,menuntut ilmu, beribadat, berdoa, berikhtiar, mencari jalan keluar,
Jalan penyelesaian kearah kemajuan bangsa dan diri sendiri.

Merdekakah aku sebagai anak watan Melayu?
Merdekakah aku sebagai anak yang merdeka?
Jajahan dan taklukan kuning masih terperap di dada-dada Melayu kita,
Budaya kebaratan, budaya hedonisme yang telah tersemai segar di minda Melayu kita
Bagaikan nila yang merosak susu sebelanga,
Diperap mesra bagai ayam yang diperap rempah ratus,
Dibasuh, direndam dalam air putih takkan hilang sisa-sisa kuning warnanya,
Sisa-sisa rempah rasanya.

Begitulah kita,
Anak Melayu tersekat di balik wacana Barat,
Di balik wacana penjajah,
Tertidur di katil khayalan,
Bermimpi esok hari ‘kan bermesra, berdansa, bergoyang di sisi wanita barat yang diagung-agungkan.

Merdekakah kita?
Anak watan Melayu yang masih tertinggal jauh dari pelbagai sudut,
Ekonominya, ilmu Sainsnya, teknologinya,
Perpaduan di peringkat atasan yang berpecah belah,
Utara, selatan, timur dan barat,
Merdekakah kita?
Berpadukah kita?
Berdamaikah kita?

ashraf adrutdin@2004
Anugerah Puisi Terbaik Malam Merdeka KMPh 2004

Tiada ulasan:

Catat Ulasan