Selasa, 3 Ogos 2010

Kirana

kucuba memahami tempatku berlabuh,
terdampar di keruhnya satu sisi dunia,
hadir dimuka bumi tak tersaji indah,
ku ingin rasakan cinta

lusuh lalu tercipta mendekap diriku,
hanya usung sahaja kudamba Kirana,
ratapan mulai usang Nur yang kumohon,
kuingin rasakan cinta,
manis..seperti mereka..

Ayah bonda tercinta,
satu yang tersisa,
mengapa kau tiupkan nafasku kedunia,
hidup tak kusesali mungkin kutangisi,
kuingin rasakan cinta..

peluhkupun mengering menanti jawabmu,
takkan pernah usai cintaku padamu,
hanya kata yang lugas yang kini tercipta,
kuingin rasakan cinta..

semakin jauh kumelangkah,
semakin perih jejak langkahku,
hariku pun semakin sombong,
meski hidup terus berjalan..terus berjalan..

Kirana jamah aku..jamahlah rinduku..
hanya wangi terurai yang dapat kucumbu..

Manis..seperti mereka,
Tulus..seperti adanya,
Suci..seperti dirimu,
Ingin..rasakan cintamu..

Kirana jamah aku..jamahlah rinduku,
takkan pernah usai cintaku padamu,
hanya kata yang lugas yang kini tersisa,
kuingin rasakan cinta...


Kirana, yang bererti sinar, cantik, elok dan indah menggambarkan seribu satu rahsia disebalik lagu ini. setiap manusia di bumi ini, mendambakan keindahan hidup di dunia ini, di mana cinta merupakan salah satu nikmat yang tak terhingga bagi tiap insan yang wujud di alam fana ini.

Dunia ini, satu persinggahan yang mengelirukan, yang penuh dengan penipuan manusia, yang membebankan insan-insan yang belum mampu mengerti erti hidup ini untuk apa dan untuk siapa. Malahan, cinta juga merupakan satu dusta yang memang Allah telah pun berfirman, cinta dunia ini, cinta yang sementara, cinta yang berlandaskan nafsu, cinta yang diakhiri dengan sesuatu yang tak pernah puas. Cinta wanita, cinta dunia, cinta harta, pangkat dan sebagainya. Hanya cinta pada Allah, pada Muhammad merupakan cinta yang abadi.

Kerana cinta, manusia jadi gila. Bermula dengan cinta monyet, cinta pandang pertama, cinta yang konon-kononnya abadi. Cinta yang kadangkala mendorong seseorang menjadi seorang yang bertanggungjawab, bermotivasi, bersemangat dalam melayari hidup dusta ini. Ada cinta yang dikatakan cinta sejati, umpama kisah Romeo dan Juliet atau pada zaman Melayu dahulu disebut Laila Majnun atau jika dicedok pada era menghampiri kiamat ini pada hasil nukilan Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan yang dipegang watak pencinta Kasyah dan Ayu.

Kerana cinta juga, benih-benih nafsu serakah mengalir dan bertemu dengan yang satu. Bertemu dan berubah menjadi darah, dan menjadi daging lalu terciptalah seketul jasad halus, yang akhirnya ditiupkan roh menjadi janin yang tidak berbapa. Di saat ini, cinta itu terlalu murah untuk disebut, diungkapkan, diserahkan pada yang tidak sepatutnya menerima dengan adil dan penuh tanggungjawab dengan cara yang halal. Hanya selepas itu, barulah terdengar nada-nada yang apologetik menyesali perbuatan bahagia itu, yang penuh dengan nikmat duniawi.

Anak yang dilahirkan ini, tidak memahami mengapa dia berada di sini. Hanya ketika dia dewasa, tatkala dia mencari dirinya sendiri, baru dia mengerti, takdir hidup ini tidak adil buat dirinya.

"..Ayah bonda tercinta,
satu yang tersisa,
mengapa kau tiupkan nafasku kedunia,
hidup tak kusesali mungkin kutangisi,
kuingin rasakan cinta.."

siapa ayahku? siapa ibuku? apa ertinya hidup ini jika kasih dan cinta yang aku perlukan, tidak kukecapi senikmat-nikmatnya darimu sebagaimana insan-insan yang lain.

+Memang dunia ini, satu penipuan, tapi engkau tidak mampu menahan takdirnya. Engkau suci, bersih, tetapi kerana sejarah engkau mengotori diri, kau menafikan semangat khalifah yang Tuhan telah amanahkan kepada kau.


"..Kirana jamah aku..jamahlah rinduku..
hanya wangi terurai yang dapat kucumbu.."

siapa Kirana? Mengapa kau harusku seru dalam mimpiku, dalam jagaku? Rinduku ini untuk siapa? Untuk siapa harusku serahkan rinduku ini untuk dijamah, biarpun sedikit, asalkan harum untukku menghirup udara duniawi ini? Adakah engkau Kirana, gadis yang aku dambakan untuk aku melampiaskan rasa sayang dan rindu ini? Atau pada tubuh-tubuh yang berjaya mencipta diri aku di dunia yang dusta ini tetapi tidak pernah mengajarkan aku tentang cara-cara melawan arus penipuan duniawi bagi meneruskan hidup ini.

"..semakin jauh kumelangkah,
semakin perih jejak langkahku,
hariku pun semakin sombong,
meski hidup terus berjalan..terus berjalan.."

Haruskah aku meneruskan langkah kakiku untuk menyetubuhi gadis yang memberi cinta palsu ini demi melahirkan seorang lagi manusia yang bakal aku tinggalkan? Yang bakal menjadi diriku lagi. Pembalasan demi melenyapkan dendam yang terpendam memerihkan jejak kaki ini. Terasa perih untuk meneruskan hidup yang mengelirukan, yang kotor, yang dusta ini, yang bagaikan terpenjara kerana merasakan diri ini tidak suci seperti insan yang lain.

Atau adakah engkau Kirana yang memberi cahaya yang bakal menyinari hidupku yang sekian lama malap ini?

"..Ayah bonda tercinta,
satu yang tersisa,
mengapa kau tiupkan nafasku kedunia,
hidup tak kusesali mungkin kutangisi,
kuingin rasakan cinta..

Manis..seperti mereka,
Tulus..seperti adanya,
Suci..seperti dirimu,
Ingin..rasakan cintamu.."

Jikalau aku diberi pilihan untuk meneruskan hidup atau berserah pada sang Izrail saat engkau tinggalkan aku digigit kesejukan malam dan gigitan semut yang lapar mencari rezeki, lantas sahaja aku inginkan nyawaku dicabut demi mengejar keabadian syurga Allah dari aku hidup dalam dunia yang sepi, dusta, nista ini. Jikalau aku mampu berkata-kata tatkala engkau meninggalkan aku sepi bersendirian hanya bertemankan bintang dan bulan pada malam itu, ingin aku berteriak padamu, "inikah janjimu pada sang Pencipta dengan meninggalkan zuriat suci ini hasil persetubuhan harammu itu? Keinsafan engkau tidak beerti dengan menambahkan lagi dosa ini.."

Jika aku mampu berkata-kata pada saat itu, aku akan merayu pada engkau agar tidak meninggalkan aku jika ada rasa cinta, biarpun hanya secebis sahaja, cukuplah. Itu lebih bermakna dari cinta dusta kau itu pada kelamin lelaki yang meragut malumu itu. Tidakkah engkau malu padaku? Setidak-tidaknya malulah engkau pada sang Pencipta Allah 'Azza wa Jalla yang meciptakan engkau, yang meniup roh dalam tubuhku ini. Hakikatnya, aku hanya mampu menangis..dan terus menangis pada kesunyian malam itu.

"..Kirana jamah aku..jamahlah rinduku,
takkan pernah usai cintaku padamu,
hanya kata yang lugas yang kini tersisa,
kuingin rasakan cinta..."

Hingga saat ini, aku benci pada cinta, aku tidak percaya pada cinta. Rupa-rupanya aku hanya menaburkan benih-benih cinta palsu pada engkau, Kirana. Kenalkah aku pada cinta hakiki ini? Hanya engkau sahajalah Kirana yang mengerti cintaku ini.


*Lirik ini ditulis oleh Ahmad Dhani, ketua kumpulan Dewa 19 di mana penyanyinya ketika itu Ari Lasso pada sekitar tahun 90-an yang kini tempatnya diisi oleh Once. Pada aku, lirik yang begitu bermakna ini memberi erti yang begitu mendalam meskipun bagi penulis asal lirik ini memberi erti yang berbeda bagi dirinya. Manusia memang berbagai ragam dan impian maknawinya.

AshrafAdrutdin 4 Ogos 2010.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan