Ahad, 12 September 2010

Ceritera kekasih


Engkau masih termenung. Jauh, sangat jauh, dalam, sangat dalam khayalan engkau itu. Kadang-kala engkau hanya terbaring lesu, bungkam dan sepi. Engkau tidak endah dengan rancangan televisyem yang terpasang dihadapan, mahupun bunyi mercun yang kuat di luar.

"Kenapa ni sayang? hmm? Kenapa Chubby?" Aku menegur kucing kesayangan kami ini. Hanya dia sahajalah yang tinggal di rumah ini, menjadi penjaga kami sekeluarga. Aku pasti, ada sesuatu yang mengganggu fikiran dan jiwa Chubby. Dia masih mengenangkan Puad, yang hilang secara misteri. Mungkin Puad telah pergi menemui penciptaNYA di syurga.

Puad, kucing yang begitu sopan sekali kukira, tidak pernah merayau jauh dari rumah, hari-hari dilaluinya begitu rutin, begitu membosankan bagi kucing-kucing lain sepertinya. Dia hanya baring di bangku batu luar rumah bagaikan seorang pengawal keselamatan. Sesekali tertidur jika penat. Tidak seperti kucing lain, Puad tidak pernah bermusuhan dengan kucing lain, apatah lagi bergaduh dan bercakaran sesama sendiri. Pernah beberapa kali, dia tidak kisah malah dia sanggup berhenti dari makan jika ada kucing asing yang datang mencari sesuap makanan.

Berbeda dengan Chubby, bagai langit dan bumi perwatakannya. Chubby sangat aktif, hidupnya penuh dengan penerokaan dan cabaran, malah dia lebih 'jantan' dari Puad. Chubby gemar memanjat pokok dan atap rumah, merayau di semak-semak di belakang rumah mencari sesuatu yang aku tidak pasti apa, tetapi luas pengalaman dan permandangan yang Chubby lalui. Setiap hari sesuatu yang baru harus diterokai. Siang hari mencari ayam, bergurau sambil kejar mengejar, tetapi Chubby tidak pernah menerkam ayam. Makanannya hanyalah di rumah sahaja. Jika dia berasa lapar, barulah dia tahu jalan balik. kadang-kadang Chubby seolah-olah dapat menghidu bau makanan yang baru ditabur dibekasnya, bersebelahan bekas makanan Puad. Kadangkala, apabila mereka terpaksa berkongsi bekas makanan, chubby tidak pernah berebut makanan dengan Puad. Dia sanggup tunggu Puad habis makan, dan jika terlalu lapar, chubby hanya menguis sedikit makanan dari dalam bekas keluar ke lantai dan makan. Chubby begitu sayangkan Puad.

Dan bila waktu malam, Chubby amat menanti waktu itu, kerana dia gemar menunggu jika ada tikus di luar rumah. kadangkala, lipas dan cicak turut menjadi mangsa Chubby. Pada Chubby, menjadi tanggungjawab dia membantu kami dalam menjaga rumah. Dia gembira dan bangga kerana dapat berkhidmat dengan Tuannya. Hasilnya, bangkai-bangkai binatang itu menjadi saksi pada esok harinya. Chubby sayangkan kami.

Berkisar tentang Puad, dia seorang yang pemalu, pendiam dan amat manja. Kadang-kadang aku rasakan Puad yang betina, bukan jantan. Mungkin kucing-kucing jantan yang lain selalu mentertawakan dia kerana menjadi penakut. Takut untuk bergaduh dan berlawan. kadangkala, bila ada kucing jantan yang ingin bergaduh dengan Puad, Chubby datang dan marah pada kucing jantan itu. Dia sayangkan Puad. Chubby rela bergaduh demi cinta dan kasihnya yang luhur pada Puad. Biarpun Chubby tidak mampu lagi memberi zuriat kepada Puad kerana dikasi, tetapi bukan itu yang Puad dambakan. Cinta dia pada Chubby tidak berbelah bahagi. Puad tidak pernah menyetubuhi kucing lain. Tidak pernah sama sekali. Dia seorang yang setia. Setia pada cintanya. Laila Majnun.

Kadangkala Puad berasa malu, malu dengan dirinya sendiri, malu pada tuannya, dan malu pada Chubby. Dia jantan, sepatutnya dia lebih gagah dan melindungi Chubby, bukan sebaliknya. Namun, dia tidak mampu melawan takdir Illahi, kerana dia hanya hamba sang pencipta, dan menumpang kasih pada manusia. Mungkin ada kucing jantan lain menempelak dan mengiau pada dia ketika bergaduh.

"Penakut, tak tahu malu! Engkau ini macam bapuk sahaja! Marilah beradu kekuatan dengan aku!" Marilah! Mari!"

Puad langsung tidak rasa tercabar dengan kucing jantan itu, malah dia takut untuk bergaduh, tidak pernah lagi kuku dia mencakari kucing jantan lain seumur hidupnya. Sepanjang hayat dia, dia tidak pernah mencari gaduh dengan kucing lain. Dia cintakan kedamaian. Dia cintakan ketenangan. Dia cintakan keharmonian. Dia merasa jelik dan pelik apabila melihat teman-teman lain sejantina dengannya, malahan dia juga takut melihat apabila sesama mereka bergaduh dan bercakaran. Dia rela sembunyi, dia enggan masuk campur. Pada dia, lebih baik dia diam dari berkata-kata yang menyakitkan hati kucing lain. Begitu tinggi keperibadian Puad. Kesabaran dia amat tinggi.

Puad seorang yang istimewa. Dia membuka mataku untuk lebih memahami sifat dan perwatakan yang berbeza dikalangan kucing. Chubby dan Puad insan yang istimewa. Mereka cinta sejati. Cinta yang sukar ditafsirkan oleh kami, umat manusia. Cinta yang tidak memerlukan wang ringgit untuk dibeli, cinta yang tidak memerlukan kata-kata yang lugas untuk meraih cinta. Cinta mereka, cinta yang suci. Cinta mereka, cinta hakiki.

Kehilangan Puad secara misteri mengundang sedikit kesedihan buat kami. Apakah dia telah mati, atau kemalangan? Atau dia dipatuk ular di semak? Atau dia dicuri orang lain yang mencemburui kami yang mempunyai kucing yang cantik, bebulu tebal dan panjang, lembut? Ya, Puad kucing berketurunan Ragdoll, sifatnya yang dikenali begitu akrab dan cepat mesra pada manusia. Mungkin sahaja dia mudah diculik oleh orang lain kerana sifatnya yang tidak takut pada manusia. Jika dia diculik, apakah nasib dia? Terjagakah makannya? minumnya? Bagaimana Tuan si pencuri itu melayani dia? Begitu banyak persoalan yang bermain di minda aku, minda kami sekeluarga dan terutama sekali minda Chubby.

                                                                          ***


Puad, semenjak engkau pergi, aku tidak tahu bagaimana nasib engkau di sana. Apakah engkau telah pergi dari dunia fana ini? Atau engkau masih hidup? Jiwaku sakit menderita kerana kehilangan engkau Poad. aku rindu dengan wajah lembutmu, aku rindu untuk menjilat muka dan tubuhmu. Aku rindu dengan baumu, bau yang membuatkan aku jatuh cinta pada engkau sayang. Aku rindu saat kita makan bersama, minum bersama, saat-saat kita baring dan tidur bersebelahan pada waktu malam. Engkau selalu katakan padaku, betapa engkau kagum dengan cara aku menerkam tepat pada tikus dan membunuh musuh kita itu. Engkau sering memujiku, dengan mengatakan engkau bangga memiliki aku, engkau bangga dapat hidup bersama aku dengan suasana yang damai sekali. Kadangkala engkau mengeluh padaku, dek kerana malu diherdik oleh kucing jantan lain. Engkau malu kerana tidak mampu mempertahankan aku ketika aku meradang pada kucing jantan yang cuba untuk menganggu hidup kita. Engkau malu kerana menjadi penakut dan tidak menjadi kucing yang gagah melindungi aku. Malahan, aku pula yang melindungi engkau dari dikejar dan dicakar oleh kucing hitam itu. Aku tidak kisah bertarung nyawa kerana engkau Poad, kerana hanya engkau yang kucintai.

Kadangkala engkau merajuk kerana aku sengaja memperli engkau dengan mengatakan "tak malu, awak nama saja jantan, tapi penakut. Hendak tangkap tikus pun tak pandai. Miau miau miau*. Sehari semalam engkau mogok lapar, sampaikan Tuan kita jadi risau pada engkau."

Aku terkenangkan saat indah kita bersama Poad, aku sayu mengenangkan engkau. Di mana engkau sayang? Kembalilah padaku sayang, kembalilah ke rumah ini, agar kita dapat kembali bersama melayari hari-hari indah seperti dahulu. Engkau akan menjaga rumah, menjaga kawasan kita pada siang hari, dan aku dengan hobiku memburu. Engkau kata, engkau enggan mengikut aku kerana engkau mahu menjaga rumah Tuan kita. Begitu murni peribadi engkau Puad. Engkau begitu istimewa padaku. Engkau tidak sama dengan jantan lain. Mereka tidak mencintai aku sebagaimana engkau. Engkau cinta sejatiku sayang, meskipun engkau bukan yang pertama, tapi engkaulah yang terakhir buatku sayang. Kadangkala aku masih teringat waktu dulu, waktu daraku diragut oleh jantan yang langsung tidak aku kenali, dan aku cintai. Namun, dia sangat gagah, tidak mampu aku melawannya. Dan dia tinggalkan aku, begitu sahaja. Hanya sekadar untuk dia melampiaskan serakahnya sahaja. Dia buat aku seolah-olah tidak ada maruah. Hatiku hancur. Namun setelah engkau hadir di sini, di rumah ini, engkau mengubati hatiku yang telah berkecai. Engkau cantumkan kembali dengan belaian manja engkau, dengan usapan dan jilatan lembut engkau pada tubuhku ini. Engkau milikku selamanya sayang.


Bulan dan bintang menjadi saksi cinta kita sayang. Dan semenjak engkau pergi, aku tidak mahu lagi tidur di luar, menanggung kesepian ini. Aku enggan membiarkan bulan dan bintang menyaksikan aku kesedihan menanggung deritaku ini. Tiada lagi teman berbicara, tiada lagi teman bergurau senda dan tiada lagi teman yang berkongsi rasa cinta dan kasih sayang. Aku tidak mahu lagi tidur di luar, menanggung kesejukkan malam tanpa engkau di sisiku sayang. Aku rindukan saat engkau memeluk erat tubuhku dan kita tidur bersama dalam kesejukkan malam yang menggigit. Kita hanyut bersama dalam mimpi indah. Mimpi yang kita bersama di syurga sayang. Dan kita telah berjanji untuk hidup semati. Namun, kini engkau telah pergi. Entah di mana engkau sayang? Masih di bumi ini atau engkau telah diangkat ke langit menemui sang Pencipta, Yang Maha besar?

Ya Allah, engkau lindungilah kekasihku ini. Jika dia masih hidup, semoga engkau lindungi dia Ya Allah, tuhan yang menciptakan kami, makhluk yang istimewa, meskipun kami tidak setanding dengan kaum Adam. Kami akur dengan ketentuanmu yang telah tercatit di Luh Mahfuz. Ya Allah, aku rindukan Puad. Jika dia telah pergi menemui ya Allah, engkau tempatkan dia di syurgamu. Aku akan berdoa, agar kami dapat bertemu kembali suatu ketika nanti, di alam yang lain. Saat sangkakala ditiup untuk kali kedua.

Biarlah manusia disekelilingku ini melihatku dengan perasaan sayu, mengusap tubuhku dengan lembut dan manja. Biar mereka tahu, dan sedari perubahanku ini, agar mereka memahami erti sebuah cinta sejati, cinta hakiki aku dan Puad. Cinta yang manusia tidak mampu tafsir dan memahami. Cinta yang berlainan dimensi, berlainan cara dan bahasa. Manusia dan kucing, dua makhluk yang berbeza impian maknawinya. Hanya kepada Allah kami menyatu.

Sayangku Puad, damailah engkau di sana sayang. Aku akan sentiasa mendoakanmu. Assalamualaikum sayang.

Chubby, kini tidak lagi aktif. Seolah-olah patah hati dalam hidupnya.


Puad, wajah sang kekasih hati. Pendiam, manja dan luhur pekerti.

*Miau miau miau - mentertawa/ketawa dalam bahasa kucing.


Ashraf Adrutdin
3.10 pagi
3 Syawal.

3 ulasan:

  1. salam,

    owh kucing rupa ingat kekasih hati he3..

    BalasPadam
  2. ap..leka aku baca blog2 ko ni..berbakat
    -salleh-

    BalasPadam
  3. congrats la acerap... x sangka ko berbakat.. cerita ni membuatkan terbit rasa syg aku pada kucing..

    BalasPadam