Rabu, 14 Mac 2012

kembali

aku kembali menulis di blog usang ini, setelah pelbagai ragam dan rencana melanda diri aku semenjak kebelakangan ini. asalnya aku tidak berminat untuk ber'blogging' dan blog ini sekadar untuk puisi-puisi ku sahaja.

Tetapi, aku cuba untuk keluar dari landasan aku, cuba untuk menentang status quo sendiri, maka aku cuba untuk menulis, apa sahaja di sini, tentang diri, hidup seharian, cinta, kesedihan, gembira, dan sebagainya, asalkan aku menulis, kerana itu jiwa aku semenjak di bangku sekolah.

Aku juga tidak kisah, adakah blog ini masih dikunjungi orang atau tidak, biarlah ia, biarkan. Hidup hanya sekali, maka aku cuba untuk mempelbagaikan cara untuk melepaskan segala yang terpendam dalam jiwa aku dalam bentuk penulisan tanpa pembaca. Sekurang-kurangnya, kelegaan itu berbaloi daripada aku meluahkan pada orang yang enggan atau berpura menjadi seorang pendengar yang baik dan setia.

Setia? Bercakap pada setia, ya aku akui aku bukan seorang yang setia barangkali. Tetapi skop bagaimana kesetiaan itu? pada Tuhan? pada harta benda? pada kawan dan sahabat? pada cinta dan kekasih? pada SAHABAT BAIK? atau apa sahaja yang ada hubungan dua hala antara benda tidak bernyawa dan juga pada insan bernyawa.

Kini hidup aku kembali tenang, meski ada sedikit-sedikit kekesalan dan titik hitam yang masih aku ingati hingga kini. Aku masih lagi berkerja di sebuah institut penyelidikan di sungai buloh, masih setia semenjak tahun 2010, walau diikutkan hati nak sahaja aku berhenti dari sini, tetapi mengenangkan aku punya tanggungan hutang yang melimpah ruah, aku matikan sahaja niat murni itu, sementelah diri aku dihantui bayangan kasih lama yang kini tinggal sejarah silam buat aku. Ya, aku rasakan diri ini memang tidak layak berada di sini, kerana semangat dan motivasi aku telah lenyap, apatah dengan penyakit ocd aku yang turut menakut-nakutkan aku dalam menjalani kehidupan normal manusia biasa.

Cita-cita aku untuk menjadi seorang penulis dan jurukamera profesional masih lagi ku genggam erat meski perjalanannya tampak suram, kelam dan berduri. Namun di sebalik ranjau itu, ada sedikit cahaya pencerahan buat diri aku. Perkenalan secara tidak sengaja dengan seorang editor sastera sedikit sebanyak memberi nafas baru buat aku untuk tekal menulis. Dan dari perkenalan itu pula, aku nampak pelbagai jalan telah terbentang di hadapan aku, cuma aku harus pula berusaha melangkah demi mencapai hasrat hati dan aku bermula dengan merangkak perlahan-lahan.

setiap malam aku dibayangi dan didatangi mimpi-mimpi yang adakalanya membuatkan aku ingin menulis setiap bait kata-kata dan jalan cerita mimpi itu semasa tidur. Dan bila terjaga, akan aku satukan serpihan-serpihan cerita ini menjadi suatu hidangan dan santapan minda dan hati.

aku selalu membayangkan, dan setiap masa aku terbayang akan suatu masa nanti, aku memandang sebuah buku di MPH di mana penulisnya ialah aku, Ashraf Adrutdin. Aku harap, ia akan menjadi suatu kenyataan buat aku. Ya, aku perlukan semangat itu, semangat membara yang suatu masa pernah aku gapai dalam genggaman aku. Aku terlalu lama tidur, terlalu lama bermimpi dan terlalu lama berkhayal. Mungkin inilah masanya aku kembali ke realiti kehidupan.



ashraf adrutdin
3.30 ptg
14 mac 2012
rrim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan