“Hello, Sham! Sham! You di mana ni? I telefon dan sms you
berpuluh-puluh kali, dari pagi Selasa, sampai hari ini baru you jawab?”
“Kau
nak apa lagi? Antara kita dah tiada apa-apa ikatan lagi kan? Kita dah putus! Sudah
berulang kali telah aku katakan pada kau, gugurkan sahaja janin kau itu!”
“Tidak Sham! Tidak!” Air di kelopak matanya
tiris terus menerus mengalir ke pipi gebu Salmah. Tidak mampu lagi dikawalnya,
tidak macet kantung matanya bertahan.
“Lelaki jenis apa kau ini hah? Kau iblis Sham!
Kau syaitan!” Salmah nanar,
menyumpah-nyumpah Hisham yang berada di luar mandala penglihatannya
tetapi begitu dekat sekali, terpahat dalam, melekat pekat, kuat di lubuk
kebenciannya yang maha dalam.
“Dan
kau, perempuan jenis apa pula? Macam..” Kata-kata itu belum sempat usai, tangan
Hisham ditarik-tarik manja oleh Nadya.
“Sudahlah honey, tak usahlah layan lagi perempuan
gila tu. I nak lagi. Cepatlah.”
“Get lost!
Berambus kau dari kamus hidup aku!” Hisham mematikan talian, lantas memalingkan
kepalanya yang botak tengah dan berkilat itu ke arah Nadya, gadis barunya.
“Ah, sorry sayang, I janji, lepas ni I tak
akan layan lagi perempuan tu. Esok I
akan ke Maxis centre, pergi tukar
nombor baru, ok?” Hisham mengucup penuh berahi, bibir lembut itu saling
bertaut. Malam berahi semakin dalam, begitu juga dengan hati pasangan ini,
begitu dalam kesesatannya.
***
Setiap manusia di bumi ini, mendambakan
keindahan hidup di dunia ini, di mana cinta merupakan salah satu nikmat yang
tak terhingga bagi tiap insan yang wujud di alam fana ini.
Dunia ini, satu persinggahan yang mengelirukan,
yang penuh dengan penipuan manusia, yang membebankan insan-insan yang belum
mampu mengerti erti hidup ini untuk apa dan untuk siapa. Malahan, cinta juga
merupakan satu dusta yang memang Allah telah pun berfirman, cinta dunia ini,
cinta yang sementara, cinta yang berlandaskan nafsu, cinta yang diakhiri dengan
sesuatu yang tak pernah puas. Cinta wanita, cinta dunia, cinta harta, pangkat dan
sebagainya. Hanya cinta pada Allah, pada Muhammad merupakan cinta yang abadi.
Kerana cinta, manusia jadi gila. Bermula dengan
cinta monyet, cinta pandang pertama, cinta yang konon-kononnya abadi. Cinta
yang kadangkala mendorong seseorang menjadi seorang yang bertanggungjawab,
bermotivasi, bersemangat dalam melayari hidup dusta ini. Ada cinta yang
dikatakan cinta sejati, umpama kisah Romeo dan Juliet atau pada zaman Melayu
dahulu disebut Laila Majnun atau jika dicedok pada era menghampiri kiamat ini
pada hasil nukilan Ahadiat Akashah, Lagenda Budak Setan yang dipegang watak
pencinta Kasyah dan Ayu.
Kerana cinta juga, benih-benih nafsu serakah
mengalir dan bertemu dengan yang satu. Bertemu dan berubah menjadi darah, dan
menjadi daging lalu terciptalah seketul jasad halus, yang akhirnya ditiupkan
roh menjadi janin yang tidak berbapa. Di saat ini, cinta itu terlalu murah
untuk disebut, diungkapkan, diserahkan pada yang tidak sepatutnya menerima
dengan adil dan penuh tanggungjawab dengan cara yang halal. Hanya selepas itu,
barulah terdengar nada-nada yang apologetik menyesali perbuatan bahagia itu,
yang penuh dengan nikmat duniawi.
Anak yang dilahirkan ini, tidak memahami mengapa
dia berada di sini.
-Siapa ayahku? siapa ibuku? apa ertinya hidup
ini jika kasih dan cinta yang aku perlukan, tidak kukecapi senikmat-nikmatnya
darimu sebagaimana insan-insan yang lain.
+Memang dunia ini, satu penipuan, tapi engkau
tidak mampu menahan takdirnya. Engkau suci, bersih, tetapi kerana sejarah
engkau mengotori diri, kau menafikan semangat khalifah yang Tuhan telah
amanahkan kepada kau.
"..Kirana jamah aku..jamahlah rinduku..
hanya wangi terurai yang dapat kucumbu.."
siapa Kirana? Mengapa kau harusku seru dalam
mimpiku, dalam jagaku? Rinduku ini untuk siapa? Untuk siapa harusku serahkan
rinduku ini untuk dijamah, biarpun sedikit, asalkan harum untukku menghirup
udara duniawi ini? Adakah engkau Kirana, gadis yang aku dambakan untuk aku
melampiaskan rasa sayang dan rindu ini? Atau pada tubuh-tubuh yang berjaya
mencipta diri aku di dunia yang dusta ini tetapi tidak pernah mengajarkan aku
tentang cara-cara melawan arus penipuan duniawi bagi meneruskan hidup ini.
Haruskah aku meneruskan langkah kakiku untuk
menyetubuhi gadis yang memberi cinta palsu ini demi melahirkan seorang lagi
manusia yang bakal aku tinggalkan? Yang bakal menjadi diriku lagi. Pembalasan
demi melenyapkan dendam yang terpendam memerihkan jejak kaki ini. Terasa perih
untuk meneruskan hidup yang mengelirukan, yang kotor, yang dusta ini, yang
bagaikan terpenjara kerana merasakan diri ini tidak suci seperti insan yang
lain.
-Jikalau aku diberi pilihan untuk meneruskan
hidup atau berserah pada sang Izrail saat engkau tinggalkan aku digigit
kesejukan malam dan gigitan semut yang lapar mencari rezeki, lantas sahaja aku
inginkan nyawaku dicabut demi mengejar keabadian syurga Allah dari aku hidup
dalam dunia yang sepi, dusta, nista ini. Jikalau aku mampu berkata-kata tatkala
engkau meninggalkan aku sepi bersendirian hanya bertemankan bintang dan bulan
pada malam itu, ingin aku berteriak padamu, "Inikah janjimu pada sang
Pencipta dengan meninggalkan zuriat suci ini hasil persetubuhan harammu itu?
Keinsafan engkau tidak bererti dengan menambahkan lagi dosa ini."
Jika aku mampu berkata-kata pada saat itu, aku
akan merayu pada engkau agar tidak meninggalkan aku jika ada rasa cinta,
biarpun hanya secebis sahaja, cukuplah. Itu lebih bermakna dari cinta dusta kau
itu pada kelamin lelaki yang meragut malumu itu. Tidakkah engkau malu padaku?
Setidak-tidaknya malulah engkau pada sang Pencipta Allah 'Azza wa Jalla yang
meciptakan engkau, yang meniup roh dalam tubuhku ini. Hakikatnya, aku hanya
mampu menangis..dan terus menangis pada kesunyian malam itu.
"..Kirana jamah aku..jamahlah rinduku,
takkan pernah usai cintaku padamu,
hanya kata yang lugas yang kini tersisa,
kuingin rasakan cinta..."
Hingga saat ini, aku benci pada cinta, aku tidak
percaya pada cinta. Rupa-rupanya aku hanya menaburkan benih-benih cinta palsu
pada engkau, Kirana. Kenalkah aku pada cinta hakiki ini? Hanya engkau sahajalah
Kirana yang mengerti cintaku ini.
“Mama, mama.”
“Ya sayang, kenapa sayang mama ni? Comotnya,
berpeluh-peluh. Sini mama lapkan dulu mukanya tu”
Ashraf Adrutdin
Tiada ulasan:
Catat Ulasan