Ahad, 16 Jun 2013

adrutdin

Ya, tiada sesiapa yang menyuruhku (baca: menggalak) menjadi penulis. Dan tiada sesiapa pun juga menyuruh aku menjadi 'pegawai penyelidik'. Ia datang dengan makna asal ada kerja kerajaan, gaji besar - jalan. Ah, betapa dangkalnya pemikiran itu.

Ayah, meski kau tidak pernah tinggalkan sebarang pesan buat diriku (baca: sempat) apatah lagi aku ini zuriatmu yang terakhir bersama arwah ibu, aku tetap tahu, impian setiap ayah dan ibu sama seluruh dunia ini, bahawa ingin melihat anak-anaknya berjaya.

Barangkali kau sengaja (atau terlupa) untuk bertanya atau menyuruhku memasang cita-cita untuk menjadi apa dan siapa suatu hari nanti. Atau sebenarnya aku sendiri yang terlupa pesanmu itu.

Ya, orang mengingatiku sebagai ashraf adrutdin. Dan namamu itu menjadi suatu simbol bahwa hanya kau seorang sahaja (baca: the one and only - konon kononnya) di dunia ini dengan nama itu. Barangkali, meski kau telah tiada, tetapi namamu itu tetap aku bawa ( dan juga abang-abangku, Firdaus & Haidi) sampai bila-bila.

Ayah, menjadi orang yang berguna itu, skopnya terlalu luas, apa sahaja boleh jadi. Lantas kau membuatkan anakmu ini berfikir-fikir untuk menjadi apa. Barangkali Tuhan sengaja menjadikanku anak yatim, untuk aku berfikir sendiri apa yang terbaik, sentiasa berfikir menjadi yang terbaik walau apa jua yang berlaku.

Dan aku berfikir-fikir, biarlah aku menjadi seorang pendidik (seperti kau menjadi seorang guru), dalam erti lain menjadi penulis. Mendidik dengan caraku sendiri.

Selamat hari ayah, Adrutdin bin Bandi.


Barangkali aku ini manusia,
yang tidak pernah kenal akan harumnya,
hutan karena aku lahir dengan wangian kota dan segala isinya.

Barangkali aku ini tersesat,
yang tidak pernah kenal di mana kuburnya
ayah dan ibuku,
yang aku tidak pasti,
apakah mereka merestui ambisiku.

Jarangku ber-alfatihah kepada mereka,
aku gusar pasti giliran rasku kelak,
begitu jua.

Silapnya aku, apakah silapnya selamanya?


ashraf adrutdin
16 jun 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan