Rabu, 13 Mei 2015

azman hussin & Keldai dan Kitab


Keldai Dan Kitab, karya Azman Hussin merupakan kompilasi artikel-artikel beliau pada 2011-2014. Sejujurnya saya baru mengetahui bahawa beliau juga seorang cerpenis suatu masa dahulu. Ternyata selepas membaca artikel demi artikel, Azman Hussin telah membantu membuka minda saya untuk melihat apa yang telah berlaku pada dunia hari ini pada perspektif yang berbeza. Azman seolah-olah mengajak kita berfikir dari sudut pandangan yang berbeza, agar kita tidak berfikiran jumud, atau sekadar mendengar 'hearsay' semata. Boleh saya katakan bahawa tulisan-tulisan beliau umpama dekonstruksi kepada dekonstruksi. Umpama meletakkan semula Hang Tuah sebagai wira setelah Kassim Ahmad menobatkan sebaliknya (Hang Jebat). Azman telah meruntuhkan tembok anti-establisment yang kini rata-rata menjadi kerangka pemikiran masyarakat sekarang dan membina semula tembok kebenaran sejati. Pada saya ia bukan langkah kebelakang tetapi suatu anjakan yang jarang difikirkan masyarakat.

            Setiap entri beliau padat, tidak meleret-leret, segar dengan isu kontemporari dan lancar pembacaannya. Tidak seperti tulisan-tulisan sarjana lain yang ada ketika kita merasakan tiada kesinambungan dan seperti syok sendiri. Tulisan beliau sangat mudah difahami, beliau tidak menggunakan perkataan-perkataan yang jargon dan bombastik seperti segelintir penulis yang sudahnya, menyebabkan para pembaca tidak faham apa yang mahu disampaikan oleh mereka. Pembaca ada ketika terpaksa mengulang-ulang baca untuk memahami isi sebenar, tetapi dalam kes Azman Hussin, ia tidak berlaku. Azman berjaya menjalankan tanggungjawab dan amanah dalam menyampaikan ilmu pengetahuan kepada masyarakat. Beliau turut banyak menggunakan analogi, perumpamaan, tamsilan yang bukan sahaja indah dan menarik perhatian pembaca, malah sangat membantu untuk memahami isi kandungan artikelnya. Dalam nasihat beliau, meski ada sinis, tetapi bukanlah sarkastik semata-mata yang boleh merendahkan intelektual pembaca. Jelas ini memberi banyak kelebihan kepada Azman agar kebenaran yang mahu disampaikan mudah diterima pembaca, tidak kira apa latar belakang pendidikan mereka. Ada ketikanya pula, saya dapat merasakan bahawa Azman seperti mengetahui apa yang sedang berada dalam minda pembaca, yang berlegar-legar tanpa jawapan, dan beliau tampil membantu. Hujahnya kemas, tersusun menjentik sanubari kita, memberi jawapan kepada tiap persoalan yang tidak berjawab selama ini, atau yang sengaja kita abaikan. Susunan artikel juga amat berkesan dan seperti mengikut 'flow' kefahaman pembaca. Lancar umpama air yang mengalir tenang di sungai.

            Azman mengutarakan perkara-perkara yang dekat dalam diri kita, tetapi tidak kita peduli untuk menggali kebenaran di sebaliknya selama ini. Perihal tentang kebenaran & khilaf yang bercampur baur, maklumat tanpa kawalan dsb. Malah membezakan apa sebenarnya knowledge dan information. Ada perihal tentang manusia yang mengaku mereka benar meski sekadar melakukan 'mekanisme bela diri'. Azman turut mengupas isu politik dan sosial tanah air dengan lebih adil, yang saya kira berjaya mencuri hati para-para anarkis/pembangkang di luar barangkali. Azman turut mengingatkan agar kita tidak menjadi peguam dalam kehidupan kita. Berdebat dan bertikam lidah dengan ada ketikanya menyerang peribadi / ad hominem bukan membalas hujah dengan hujah.

            Saya kira, inilah ilmu yang bermanfaat yang mahu disebarkan kepada kita, sebagai satu satu daripada tiga bekalan Azman di akhirat kelak. Ada ketikanya saya merasakan, bahawa apa yang saya baca ini, seharusnya keluar dari mulut-mulut/pemikiran para menteri/pemimpin kita. Azman memberi sesuatu yang diperlukan untuk masyarakat menjadi celik ilmu, dan bukan memberikan sesuatu yang masyarakat kini mahu atau mengikuti kehendak pasaran kini (anti-establishment). Sekian, terima kasih.

1 ulasan:

  1. Mungkin ahli politik patut membaca buku ini, kususnya dari UMNO dan lebih khusus para menteri. Untuk berlatih cara berhujah.

    BalasPadam