Rabu, 28 Disember 2011

Prolog Saraswathy 1934 (bab3)


 Nama watak telah ditukar kepada Sangheeta - Saraswathy
                                                           Derus - Badrul / Derul

Bab 3

Saat itu, Ramli tidak akan lupa, dia dan Rama sama-sama melihat iklan itu yang ditampal di kedai kopi Pak Hassan di Pekan. Memang kebetulan Ramli dan Rama bersama-sama ke pekan untuk mencari pekerjaan. 

“Eh Ramli, cuba kau lihat ini dia tulis apa ini? Kerja ke?”, tanya Rama yang kurang fasih membaca Melayu tapi sekurang-kurangnya dia boleh bertutur dengan baik. Rama berkawan baik dengan Ramli yang merupakan kawan-kawan sama sepermainan sejak kecil. Saat itu, Ramli tidak punya siapa-siapa untuk berkawan, dan Rama punyai basikal yang selalu dia gunakan untuk mengangkut susu getah bapanya untuk dijual ke kilang memproses getah. Ramli ketika itu sedang bermain biji getah di ladang tempat bapa Rama menoreh. Memang kegemaran dia bermain laga biji getah dan seringkali dia secara sembunyi-sembunyi mengambil biji getah di ladang tersebut. Saat itu, dia sedang leka mengutip biji getah sambil menyanyi-nyanyi lagu Juwitaku sayang, lagu Osman Ahmad, nyanyian P.Ramlee.

“Hoi! Apa you buat itu hah? Appa!! Appa!! Ingge! Ingge!” teriak Rama kepada ayahnya.

“Ho, sudah lama kau curi itu biji getah ya? Patutlah aku hairan, itu buah getah selalu saja hilang, rupa-rupanya kau yang mencuri itu buah! Appa!!”, Rama mencekik-cekik leher Ramli sambil Ramli mengerang meminta maaf, “Ma..ma..maafkan saya..Erk..erk..sakit, sa..kit..tol..long..lepaskan! lepaskan!”, Ramli menggelupur dicekik dek Rama.

“Hoi Rama! Rama!”, lepaskan itu budak Melayu la. Jangan cekik sama dia lagi. Aiyoyo..Rama!”, pujuk Manikam, sambil menarik Rama ke belakang.

“Fuh! Fuh! Adoi. Maafkan saya, maafkan saya!”, sambil mengurut-ngurut leher dan tengkuk dia, setelah dilepaskan oleh Rama.

“Apa pasal kau cekik itu budak, Rama? Aiyoo! Kalau dia kasi tahu sama dia punya ayah, kita juga susah tau!” menggeleng-geleng kepala Manikam melihat kejadian tadi.

“Appa, appa apa tau? Toreh pokok saja hari-hari pun appa tak ada tau ini orang sudah curi kita punya biji getahlah. Nanti itu biji semua tak ada, apa macam kita mau tanam ini pokok getah juga?”, rungut Rama, sambil bercekak pinggang dan menjenggil pada si Ramli.

“Saya minta maaf pakcik, err, janganlah tangkap saya, saya cuma curi, eh, cuma ambil sikit saja biji getah ni, sebab nak  main laga biji getah, itu pun saya seorang saja yang main, nanti lepas main, saya pulangkanlah balik biji getah ni, ya?”, rayu Ramli, sambil berdoa dalam hati “Ya Aziz, Ya Jabbar, Ya Mutakabbir”, yang bererti Maha Mulia, Maha perkasa, dan Maha megah, seperti yang pernah diajar oleh ayahnya, Haji Malik, jika-jika berada dalam keadaan yang mendebarkan, mencuakkan tatkala berkelahi atau berjumpa dengan orang-orang yang berdarjat tinggi atau berpangkat besar, agar dilembutkan hatinya andai ingin memarahi atau memukulnya.

“Hoi, banyak lah kau punya pulang juga itu biji!”, lenting Rama. Saat dia mahu menampar wajah Ramli, serentak itu tangannya dicapai oleh ayahnya Manikam, “Rama! Appa tak ada ajar pukul orang juga kan?”.

“Maafkan saya appa, saya juga salah sudah cekik ini orang. Aiyoyo, apakah saya sudah dirasuk jin Tuhan Krishna Dwaipayana Wyasa? Aiyo appa!”, nangis si Rama setelah ditengking oleh ayahnya, dan Ramli tercengang melihat gelagat mereka anak beranak.

“Kamu, siapa nama kamu? Kamu orang sini juga ke? Mana kamu tinggal? Apa macam kamu mari sini ambil itu biji getah juga?”, pelbagai soalan diajukan pada Ramli.

Ramli terketar-ketar cuba menjawab soalan bertubi-tubi Manikam itu. “Err, na-ma saya Ramli, saya tinggal di kampung Parit Setongkat seberang sana!”, sambil tangannya menunjuk ke arah timur arah matahari terbit.

“Tuan, saya cuma pinjam sahaja biji getah ini. Baiklah, sekarang saya dah pulangkan pada tuan”, lantas Ramli menjatuhkan kesemua biji getah yang dikutipnya, dia tahu perbuatan dia itu salah, ayahnya tidak pernah mengajarnya mengmbil hak orang, seandainya ayah dia tahu, maka ke reban ayamlah jawabnya malam ni. Dia enggan bertindak zalim lagi, tidak mahu meletakkan sesuatu bukan di tempatnya. “Maafkan saya pakcik Manikam dan Rama, izinkan saya pulang ya?”, seraya Ramli cuba hendak berpaling dan pergi dari situ, tiba-tiba Manikam menahannya dari pergi.

“Nanti dulu!”. Kau ini seorang yang jujur, dan teguh pendirian agamamu. Apa Tuhan kau nampak akan perbuatan kau itu, dan tidak menghukum kau kah?”, soal Manikam mengkagumi akhlak Ramli.

“Tuan, Allah Subhanawata’ala memang sentiasa nampak semua perbuatan hambaNya, termasuk tuan, dan anak tuan. Allah tak beranak dan tidak pula diperanakkan tuan, namun saya hormati agama tuan, kerana Nabi saya ada berkata, ‘untukmu agamamu, dan untukku agamaku’, tuan”. Manikam tergamam dan tersenyum kepada Ramli.

Rama bangun lalu menghulur tangan berjabat pada Ramli, “Aku nak minta maaf, boleh kau maafkan aku, sebab aku telah mencekik diri kau juga tadi”, keluh Rama, kesal dengan perbuatan terburu-buru dan tidak berfikir panjang itu, tanda ketidakmatangan yang masih membelenggu diri Rama. Rama mengesat sisa air mata yang mengalir tadi. Malu pula rasanya menangis depan laki-laki, fikirnya.

“Tak mengapa Rama, dalam Islam kita memang di suruh untuk saling memaafkan kesilapan orang lain, kerana Nabi Muhammad Sallahu alaihi wassalam juga maafkan umatnya”, jelas Ramli pada Rama.

Saat ini, Ramli sudah berpaling meminta diri, namun Rama sekali lagi memanggil dia, “Ramli! Esok kau mari sini lagi, main laga biji getah sama aku ya?”, ujar Rama sambil tersengih, menampakkan susunan giginya yang putih, sambil Manikam menepuk-nepuk bahu anaknya.

“Baiklah! Hahaha! Terima Kasih! Aku pulang dahulu, jumpa esok ya!”, dan begitulah tali persahabatan mereka bermula, sehinggalah disambung oleh anak-anak mereka, tanpa mereka sedar.


ashraf adrutdin
28/12/2011
12.44pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan