Dalam artikel Profesor Sidek Baba, "Umat Melayu cerminan Islam", terdapat banyak persoalan yang diutarakan antaranya; apakah watak Melayu dalam kepimpinan menggambarkan imej adil? Apakah watak Melayu dalam bidang ilmu adalah peneroka ilmu baru yang tidak bercanggah dengan fitrah? Dan apakah generasi muda Melayu menggambarkan harapan mengenai wujudnya kesinambungan terhadap kepimpinan terbaik? Begitu persoalan yang dibangkitkan terhadap watak Melayu, buat saya, buat kita orang Melayu bertanggungjawab untuk menjawabnya sendiri.
Jika kita melihat secara konteks di sekeliling kita, watak Melayu ini boleh kita katakan dikotomi atau terpecah dua, hitam dan putih, namun bukanlah ia dikotomi yang dikatakan total, kerana ada sisi-sisi yang masih baik pada yang kurang baik. Jika dilihat contoh remaja melayu sekarang yang leka dengan k-pop, asyik dengan berpasangan sebelum berkahwin misalnya, atau hanyut dengan gejala dadah, seolah-olah menunjukkan bahawa ajaran Islam tidak membawa kebaikan buat mereka, sedangkan mereka yang tidak menghayati dan mengikuti ajaran Islam dengan sebaik-baiknya.
Nila setitik, tak akan merosakkan susu sebelanga, begitulah umpama segelintir kita yang tersilap atau sengaja mempamerkan sikap hodoh kepada masyarakat bukan Melayu atau kepada seluruh dunia sekalipun tidak harus dilihat sebagai cermin budaya Melayu dan Islam. Sebagaimana dunia cuba menghukum Islam dengan mengatakan kita sebagai 'terrorist' dengan menunjuk bukti-bukti pembunuhan yang mana kita tahu ia hanyalah fitnah AS dan sekutunya Israel, apatah lagi bila mereka sendiri yang menzalimi umat Islam terlebih dahulu. Dan jika benar ada sekalipun kezaliman ala-Taliban dilakukan terhadap umat Islam sendiri oleh pemerintah Islam sendiri, ia tidak boleh menggambarkan keseluruhan Islam, apatah lagi media memainkan peranan yang keji dan tidak adil laporan-laporannya.
Berbalik pada kedudukan Islam hasil cerminan orang Melayu, ia haruslah bermula dengan pemimpin (ketua negara, ketua Islam, ulama dan sebagainya) agar masyarakat bawahan dapat mengikuti cara yang betul-betul berlunaskan ajaran Islam. Pemimpinlah yang harus tegas dalam menguruskan negara dan bangsa, dan tidak mensekularkan sistem pemerintahan, pada masa yang sama mengimbangi keperluan masyarakat yang berbilang kaum di Malaysia ini. Ternyata tugas ini berat terletak di pundak pemimpin, namun dengan gandingan semua, berserta sikap saling bertanggungjawab dalam mendakwah ajaran dengan cara yang berhemah, kita mampu berubah.
Kita sendiri, haruslah punya kesedaran dan yang paling penting istiqamah dalam merawat barah dalam diri seterusnya manusia di sekeliling kita. Dengan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar, sifat-sifat adil, amanah, tidak berputus asa dalam perjuangan, bersedia menerima teguran dan berlapang dada, dapat menjadikan umat Melayu di Malaysia ini cermin yang ulung buat Islam dalam pelbagai bidang dunia mahupun akhirat.
ashraf adrutdin
7/10/2013
PPUM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan