Mengulas artikel
S.M. Zakir yang bertajuk ‘Ketamadunan Melayu adalah ketamadunan Islam’
membuatkan saya berfikir panjang, dalam benak fikiran saya bagaimana tamadun
Melayu ini berkait rapat dengan tamadun Islam yang telah lama wujud sejak zaman
Nabi Muhammad S.A.W. Menyusuri sejarah kewujudan bangsa Melayu ini di wilayah
Selatan Asia Tenggara yang dikatakan datang dari Yunan China dan bertebaran di
Champa, Kemboja, semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, Jawa, Borneo, Kalimantan,
Maluku, Makkasar serta gugusan kepulauan Filipina.
Anutan
Hindu-Buddha hanya pada golongan bangsawan dan raja-raja menunjukkan sistem
Kasta yang membezakan golongan atasan dan bawahan terpakai pada ketika itu di
mana tata-upacara yang mengagungkan dewa-dewa hanyalah sebagai manifestasi
untuk memastikan masyarakat bawahan yang masih percaya pada animism kagum akan
pemerintah mereka. Namun begitu, agama Hindu hanyalah terserap pada luaran
(seni, budaya dan ritual) sahaja, tidak pada falsafah yang bisa merobah amalan
dan pandangan hidup mereka.
Wujudnya sebuah
kerajaan Islam di wilayah alam Melayu dibuktikan dengan penemuan batu nisan
Sultan Malik al-Saleh (raja Islam Samudera) bertarikh 1297M yang dikatakan
bermazhab Syafii. Manakala penemuan batu bersurat Terengganu pada 1303 pula
membuktikan Islam lebih awal masuk ke semenanjung Tanah Melayu. Pada pembacaan
saya yang lain (cross reference) menyatakan bahawa Islam telah tiba di
Nusantara lebih awal iaitu sekitar abad ke-7 Masihi, dijelaskan oleh Pengiran
Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman dengan penemuan batu nisan milik
Syaikh Abdul Kadir bin Husin Syah Alam yang meninggal pada tahun 903 Masihi di
Tanjung Inggeris, Kedah.
Kedatangan Islam
membebaskan jiwa masyarakat Melayu dari kalangan raja-raja sehingga ke rakyat
bawahan di mana kesyumulan agama Islam merangkumi pelbagai bidang ilmu yang
mengangkat kemanusiaan ke martabat yang tinggi berbanding zaman sebelum kedatangannya.
Kedatangan Islam juga telah merubah fungsi bahasa Melayu yang dahulunya
terbatas kepada urusan perniagaan kepada bahasa ilmu pengetahuan yang saintifik
dalam menyalurkan falsafah Islam dan mengikat perpaduan bangsa Melayu itu
sendiri sehingga melahirkan pemikir-pemikir Islam Hamzah Fansuri, Abdul Rauf
Al-Singkil, Syamsuddin al-Sumatrani dan lain-lain sekadar menyebut sebahagiannya.
Ini tidak terjadi pada bahasa Sanskrit ketika zaman Hindu-Budha di mana menurut
Syed Muhammad Naquib Al-Attas tidak mempengaruhi pandangan hidup masyarakat
Melayu yang sekadar menerima luarannya sahaja (seni dan ritual) dan bukan pada
falsafahnya. Ini dibuktikan dengan ketiadaan ahli-ahli pemikir Hindu Buddha
dari kalangan Melayu.
Oleh yang
demikian, Melayu dikatakan suatu manifestasi Islam, ketamadunan Islam. Setelah
Malaysia ditubuhkan, peruntukan Perlembagaan merujuk sejarah tamadun Melayu
dengan mentakrifkan “Melayu” sebagai seseorang yang beragama Islam, bercakap
dalam bahasa Melayu dan mengikuti adat istiadat Melayu. Begitu Melayu dan
Islam dilindungi, menunjukkan Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan secara sekular
sebagaimana barat memisahkan agama dengan hal-hal kehidupan seharian. Sepertimana
yang dibicarakan oleh S.M. Zakir, sesetengah pihak yang cuba mengubah istilah ‘Melayu’
kepada ‘Malaysia’ seolah-olah cuba meliberalkan tamadun yang telah lama wujud
dalam proses mewujudkan negara tanpa bangsa serta menggugat kedaulatan
Melayu-Islam.
Pengarang
mengkonklusikan konsep Melayu haruslah difahami sebagai ketamadunan Islam,
bukan kaum juga bukan bangsa yang sifatnya sempit (etno-sentrik). Ianya juga
suatu sindiran kepada politikus-politikus yang cuba menghilangkan Melayu dengan
‘meMalaysiakan’ rakyat (Malaysian Malaysia). Berbeza dengan gagasan 1Malaysia,
ia mengharmonikan rakyat pelbagai kaum di negara ini tanpa mengubah identiti
kaum-kaum tersebut.
ashraf adrutdin
6/10/2013
Subang Bestari
Artikel asal: http://nusacentre.wordpress.com/rencana/ketamadunan-melayu-adalah-ketamadunan-islam/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan